Jumaat, 16 Oktober 2020 | 9:54am
Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan. ARKIB NSTP
Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan. ARKIB NSTP

PRK Batu Sapi: STAR sahkan tidak bertanding

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, yang ditetapkan pada Disember ini.

Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata keputusan itu diambil susulan keadaan pandemik COVID-19 yang semakin serius dan meningkat di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata keputusan itu diambil untuk melindungi penyokong parti itu daripada terdedah dengan pandemik COVID-19.

"Memandangkan keadaan pandemik COVID-19 semakin serius dan meningkat, STAR tidak akan bertanding pada PRK Batu Sapi.

"Bagaimanapun, saya tidak akan menghalang mereka (penyokong) untuk keluar mengundi," katanya kepada BH di sini.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) mengumumkan tidak bertanding pada PRK itu atas alasan yang sama.

Selain BN, Setiausaha Agung Parti Cinta Sabah (PCS), Ansari Abdullah berkata parti itu turut menyatakan pendirian untuk tidak bertanding pada PRK itu, selepas mengambil kira situasi penularan pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Christina Liew dalam kenyataannya turut memutuskan tidak bertanding pada PRK Batu Sapi.

PH Sabah terdiri daripada PKR, DAP dan AMANAH sebagai parti komponen.

PRK Batu Sapi perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong, pada 2 Oktober lalu.

Mendiang Vui Keong memenangi kerusi itu atas tiket Parti Warisan Sabah (WARISAN) dengan majoriti 4,619 undi mengalahkan pencabar terdekatnya, Datin Linda Tsen (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Pada Selasa lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh hari pengundian PRK Batu Sapi pada 5 Disember.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 23 November, manakala hari pengundian awal pada 1 Disember.

  • Lagi berita mengenai COVID-19


  • Berita Harian X