Selasa, 13 Oktober 2020 | 8:45pm
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto NSTP/Aswadi Alias

PRK Batu Sapi: GRS runding tentukan bertanding atau tidak

KUALA LUMPUR: Parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan berbincang dan memutuskan sama ada mahu meletak calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi di Sabah ataupun sebaliknya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ketika pembentukan GRS yang membabitkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), hak untuk bertanding di beberapa kerusi termasuk Batu Sapi, diserahkan kepada parti tertentu.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan sebarang keputusan dibuat akan turut mempertimbangkan situasi semasa, khususnya membabitkan penularan COVID-19 di kawasan berkenaan.

"Setiap parti, termasuk PN akan meneliti keadaan di situ dan nanti akan buat keputusan kerana dalam GRS yang dirunding dahulu, ada kerusi tertentu termasuk Batu Sapi diserahkan kepada parti tertentu.

"Jika BN kata tak bertanding, mungkin ada parti lain yang telah ditetapkan kerusi itu akan buat keputusan, yang mengambil kira faktor semasa," katanya pada sidang media maya bersama beberapa wakil media yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PN akan meletakkan calon pada PRK itu berikutan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan pihaknya tidak akan menyertai PRK berkenaan.

PRK Parlimen Batu Sapi perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong, pada 2 Oktober lalu.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Disember sebagai tarikh PRK Parlimen Batu Sapi, manakala 23 November ditetapkan sebagai tarikh penamaan calon dan 1 Disember untuk pengundian awal.

SPR turut melarang semua bentuk kempen tradisional seperti secara bersemuka atau berkumpulan untuk menziarah dan tinjauan mesra pada PRK itu, sebaliknya hanya kempen secara dalam talian dan pengedaran risalah kempen melalui pos dibenarkan.

Berita Harian X