Jumaat, 25 September 2020 | 3:30pm
Tengku Adnan (kiri) dan Ahmad Jazlan
Tengku Adnan (kiri) dan Ahmad Jazlan

Ku Nan kata Anwar berangan, Ahmad Jazlan nafi sokong

KUALA LUMPUR: Penubuhan kerajaan baharu hanya angan-angan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak perlu dipercayai.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata UMNO sudah memutuskan untuk tidak bersama Anwar, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan DAP.

"Ini (dakwaan tubuh kerajaan) hanyalah angan-angan Anwar dan berharap tidak ada pihak yang percaya dengan dakwaannya.

"Saya tetap bersama UMNO, dulu kini selamanya dalam perjuangan sebuah bangsa. Kita dalam UMNO juga sudah putuskan 'no Dr Mahathir, no Anwar and no DAP', jadi hentikanlah spekulasi ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga menegaskan tidak sama sekali terbabit dengan gerakan menyokong penubuhan kerajaan baharu yang diketuai Ketua Pembangkang itu.

"Saya tidak terbabit dan sama sekali, tidak menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu yang diketuai oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar seperti yang dilaporkan sebelum ini.

"Hentikan spekulasi, kita teruskan perjuangan menjaga rakyat dan tetap setia bersama Barisan Nasional (BN)," katanya.

Sejak kelmarin, viral senarai nama Ahli Parlimen UMNO yang didakwa menyokong Anwar termasuk nama Tengku Adnan.

Senarai itu tular selepas Anwar pada sidang media Rabu lalu mendakwa mempunyai majoriti menubuhkan kerajaan berkata ada Ahli Parlimen UMNO yang menyokongnya tetapi enggan mendedahkannya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, yang turut disenaraikan menafikan dakwaan itu.

"Kalau saya menyokong 'Perdana Menteri kayangan' ini, mana mungkin saya berada di pentas BN berkempen di Sabah ketika ini. Ini musim cuaca politik, maknanya mereka dalam keadaan tertekan terutama di Sabah. Untuk mengelirukan pengundi inilah cara yang mereka buat," katanya.

Berita Harian X