Khamis, 10 September 2020 | 2:53pm
Bung Moktar (dua kiri) bersama Hajiji (tiga kanan) pada majlis ramah mesra pemimpin BN dan PN (BERSATU) di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Bung Moktar (dua kiri) bersama Hajiji (tiga kanan) pada majlis ramah mesra pemimpin BN dan PN (BERSATU) di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS

PRN Sabah: BERSATU, UMNO ajak ahli lupakan sengketa

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah mengajak ahli dan penyokong parti itu bersama UMNO serta Barisan Nasional (BN), melupakan sengketa di antara mereka demi merampas kembali Sabah pada pilihan raya negeri (PRN).

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata kesatuan dalam kalangan ahli BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) serta BN dan UMNO amat penting untuk memastikan kemenangan pada PRN nanti.

"Yang penting ialah kesatuan kita untuk masa depan Sabah. Kita lupakanlah apa yang berlaku sebelum ini. Janganlah salah menyalah antara satu sama lain.

"Kita semua dari 'spesies' yang sama. Semua di sini saya kenal. Baik yang berbaju biru atau yang berbaju merah," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin BN dan PN (BERSATU), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Hajiji menyifatkan majlis itu sebagai satu sejarah kerana pemimpin dan ahli BERSATU Sabah serta BN Sabah buat pertama kali dapat bertemu dalam satu majlis.

"Saya umpamakan majlis ini sebagai 'biduk lalu, kiambang bertaut'.

"Lebih penting lagi kerana kita perlu ada kesatuan, solidariti dan perpaduan untuk menghadapi PRN. Perjuangan kita sama iaitu untuk menentukan kita menang dalam PRN ini," katanya.

Sementara itu, Bung turut menyuarakan harapan yang sama demi memastikan usaha menumbangkan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) menjadi kenyataan.

"Memang betul. Kita semua adalah dari 'spesies' yang sama. Kita-kita saja ini. Kalau mahu menang, kita mesti simpan itu dalam hati," katanya.

Beliau turut mengingatkan agar mana-mana pemimpin UMNO dan BN atau BERSATU dan PN yang tidak menjadi calon agar menerima dengan hati terbuka.

Beliau berkata, apa yang lebih penting ialah untuk memastikan kemenangan pada PRN.

"Peluang kita untuk menang lebih baik, berbanding WARISAN. Jadi, kita tidak harus sia-siakan peluang ini. Kita boleh menubuhkan kerajaan yang lebih berkesan di Sabah," katanya.



Berita Harian X