Rabu, 9 September 2020 | 6:53pm

PRN Sabah: PKR tanding 14 kerusi

KUALA LUMPUR: PKR akan bertanding di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hujung bulan ini.

Ketua Penerangan PKR Sabah, Simsudin Sidek, berkata jumlah itu adalah munasabah memandangkan bilangan kerusi DUN juga meningkat dari 60 sebelum ini kepada 73 untuk PRN kali ini.

Beliau berkata, jumlah itu dimaklumkan ketika rundingan terakhir PKR dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) membabitkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan pimpinan tertinggi PKR sebelum ini.

"Kehadiran PKR di Sabah bukan perkara baharu. Pada pilihan raya sulung yang disertai parti pada 1999, PKR sudah pun bertanding tiga kerusi Parlimen di Sabah.

"Walaupun PKR pernah bertanding jumlah kerusi lebih besar, atas semangat setiakawan dengan rakan seperjuangan, khususnya WARISAN, PKR hanya bertanding enam kerusi Parlimen dan lapan DUN pada 2018," katanya dalam satu kenyataan.

Empat belas kerusi DUN yang akan ditandingi PKR itu adalah Api-Api; Inanam; Tempasuk; Tamparuli; Matunggong; Klias; Sook; Kemabong; Segama; Limbahau; Sg Manila; Membakut; Pintasan serta Petagas.

Mengulas lanjut beliau mendakwa keanggotaan PKR Sabah juga sudah mencecah lebih 170,000 orang, menjadikan negeri itu kedua tertinggi dari segi keanggotaan parti selepas Selangor.

Dalam pada itu, beliau berkata, PKR juga berhasrat menampilkan calon Bumiputera Islam, bukan Islam dan Cina yang sudah melakukan tapisan rapi untuk memastikan mereka berwibawa, termasuk muka-muka baharu muda dan wanita.

Berita Harian X