Sabtu, 29 Ogos 2020 | 2:18pm
Berhenti keluar kenyataan boleh jejas keutuhan pentadbiran kerajaan - Rosol. Foto NSTP
Berhenti keluar kenyataan boleh jejas keutuhan pentadbiran kerajaan - Rosol. Foto NSTP

Usah keluar kenyataan gugat kestabilan kerajaan PN

KUALA LUMPUR: Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menasihatkan Tengku Razaleigh Hamzah tidak mengeluarkan kenyataan yang dikhuatiri menimbulkan ketidaktentuan terhadap pentadbiran negara.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Rosol Wahid, berkata kerajaan kini stabil di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, maka tidak perlu diwujudkan anasir negatif yang boleh menyebabkan rakyat bimbang.

"Jangan timbulkan suasana tidak selesa kepada rakyat dan keadaan yang tidak baik kerana kita harus bertanggungjawab dan menjaga kerajaan yang stabil ini," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tengku Razaleigh atau Ku Li yang meminta pemimpin UMNO dalam Kabinet berundur daripada jawatan masing-masing susulan keputusan BERSATU menerima bukan Melayu sebagai ahli parti.

Alasan Tengku Razaleigh yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu adalah keputusan BERSATU itu menghilangkan kelayakan parti berkenaan sebagai anggota Pakatan Melayu Islam yang didukung MN.

Pada masa sama, Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, beliau percaya pandangan Ku Li itu tidak mewakili UMNO kerana Ahli Parlimen Gua Musang itu tidak mempunyai jawatan penting dalam parti.

Beliau berkata, dalam keadaan politik negara yang semakin dinamik berbanding 10 tahun dahulu, pembabitan orang bukan Melayu sebagai ahli parti juga penting bagi memperkukuhkan pentadbiran kerajaan sedia ada.

Sementara itu, Ahli MPT BERSATU, Wan Saiful Wan Jan, pula berkata tiada yang perlu disensasikan berhubung tindakan BERSATU membuka ruang kepada bukan Melayu menjadi ahli parti kerana perkara sama juga wujud dalam UMNO dan PAS.

Tidak perlu sensasikan tindakan BERSATU terima bukan Melayu jadi ahli - Wan Saiful. Foto NSTP
Tidak perlu sensasikan tindakan BERSATU terima bukan Melayu jadi ahli - Wan Saiful. Foto NSTP

Beliau berkata, tiada perbezaan antara UMNO dan PAS dengan BERSATU yang melalui perlembagaannya sejak awal lagi membolehkan orang bukan Melayu dan bukan Islam menyertai pari itu.

"MPT BERSATU bersetuju mengkaji mewujudkan struktur lebih baik untuk membolehkan bukan Melayu dan bukan Islam yang menjadi Ahli Bersekutu turut terbabit dalam kegiatan parti tanpa menjejaskan prinsip yang dipegang oleh parti dan mengekalkan orang Melayu Islam sebagai teras.

"Perkara ini sudah wujud dalam UMNO dan PAS. Maka BERSATU juga mahu memberi ruang yang sama. Janganlah mencipta cerita sensasi yang sebenarnya tidak wujud, " katanya.

Beliau berkata, sebelum ini tiada sesiapapun yang mempersoalkan kewujudan ahli bukan Melayu dan bukan Islam dalam PAS dan UMNO walaupun selepas dua parti itu membentuk Muafakat Nasional (MN).

Berita Harian X