Slim River: Pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim meletakkan harapan tinggi terhadap wakil rakyat yang akan dipilih bagi menggantikan Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59.
Tok Batin Kampung Orang Asli Changkat Ramu, Latah Merah, 62, berkata wakil rakyat baharu diharap mudah didekati dan mampu meneruskan usaha Mohd Khusairi.
"Saya mewakili penduduk kampung berharap wakil rakyat baharu mampu memberikan perkhidmatan terbaik seperti arwah dan lebih daripada itu serta meneruskan usaha arwah.
"Sebagai kelompok minoriti kami juga berharap Orang Asli tidak dipinggirkan. Selain itu, kami berharap wakil rakyat baharu mudah didekati dan tidak terlalu protokol supaya lebih mudah menyelami masalah penduduk," katanya.
Bagi generasi ketiga Felda Besout 1, Fatin Humairah Nor Hisham, 28, dia mahukan pemimpin yang berjiwa rakyat dan berwibawa selain dapat memperjuangkan nasib generasi baharu Felda Besout.
"Saya berharap wakil rakyat baharu nanti mudah didekati, mesra dan boleh mendengar serta membawa suara rakyat terutama generasi baharu Felda Besout dalam isu penempatan," katanya.
Penduduk Kampung Kuala Slim, Zalila Mohamed Sapi, 45, berkata, pemilihan wakil rakyat yang terbaik dan mampu menggalas tanggungjawab dinilai sepanjang 14 hari calon berkempen.
"Saya berharap wakil rakyat baharu nanti akan memperjuangkan nasib golongan yang kurang berkemampuan, ibu tunggal, warga emas dan anak yatim," katanya.
PRK Dun Slim yang dijadual pada 29 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas, S Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.
Amir Khusyairi mewakili kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.