Selasa, 18 Ogos 2020 | 6:10pm
Calon BN, Mohd Zaidi Aziz (kanan) bersama penduduk di Kampung Klah Baru, Slim River, Mohd Ishak Hassan, ketika kempen PRK DUN Slim, hari ini. - Foto NSTP/ Noor Hidayah Tanzizi.
Calon BN, Mohd Zaidi Aziz (kanan) bersama penduduk di Kampung Klah Baru, Slim River, Mohd Ishak Hassan, ketika kempen PRK DUN Slim, hari ini. - Foto NSTP/ Noor Hidayah Tanzizi.

PRK Slim: Mohd Zaidi tekad selesai isu banjir hantui 7,000 penduduk

SLIM RIVER: Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz, tekad membantu 7,000 penduduk di Kampung Klah Baru, Trolak, Pekan Slim dan Kuala Slim, dekat sini, yang dibelenggu masalah banjir kilat sejak sekian lama.

Ia mengambil kira komitmen penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, yang sebelum ini berusaha menyelesaikan isu berkenaan.

Malah, katanya bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim itu sudah membawa isu berkaitan masalah dihadapi penduduk itu kepada Jawatankuasa Tindakan Daerah dan turut dibahaskan di sidang DUN.

"Banjir kilat berlaku disebabkan limpahan air Sungai Slim susulan hujan lebat yang menjadi masalah utama penduduk di kawasan berkenaan.

"Masalah ini berlaku sejak lama dahulu dan sudah dibawa kepada pihak berkaitan oleh arwah (Mohd Khusairi).

"Jadi, saya mahu teruskan perjuangan itu termasuk penempatan untuk generasi kedua bagi kampung tradisional dan FELDA," katanya ketika melawat Kampung Klah Baru, di sini, hari ini.

Sementara itu, bekas ketua kampung berkenaan, Mohd Ishak Hassan, mengakui setiap kali musim hujan lebih 30 kediaman penduduk berhampiran sungai akan dinaiki air dengan kejadian terbaru pada Jun lalu.

"Apabila hujan lebat berterusan hampir lapan jam pasti akan berlaku banjir kilat di sini dan pernah beberapa keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara.

"Justeru, saya harap pihak berkaitan dapat menyelenggara sungai berkenaan supaya masalah itu dapat diatasi segera," katanya.

Memasuki hari keempat kempen, Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim, Mohd Zaidi sudah meliputi hampir 90 peratus kawasan, dengan bertemu dan melawat 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi menyelami masalah penduduk.

PRK DUN Slim menyaksikan Mohd Zaidi berdepan saingan tiga penjuru dengan dua calon Bebas iaitu S Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Amir Khusyairi mewakili kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berita Harian X