Selasa, 18 Ogos 2020 | 4:09pm

PRN Sabah: Calon KM akan ditentukan jika BN menang

KUALA LUMPUR: Calon Ketua Menteri Sabah hanya akan ditentukan sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) itu, bulan depan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ketika ini, BN memfokuskan kepada usaha perundingan kerusi dengan parti politik di Sabah, bagi memastikan pertembungan satu lawan satu dapat direalisasikan.

"Lepas PRN kalau dapat majoriti mudah perundingan akan dijalankan dengan semua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang ada. Di Sabah ada 73 kerusi DUN. Bagi pembentukan kerajaan negeri, ini tahap kedua untuk hadapi perundingan selepas pilihan raya tamat," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Ahmad Zahid berkata, BN mengambil sikap untuk memurnikan sebarang perundingan berhubung agihan kerusi parti politik di Sabah dan kebijaksanaan strategi serta kompromi mesti mendepani sebarang permintaan dari parti yang bertanding.

"Kita akan memurnikan perundingan dan tentunya kita berikan peluang untuk Pengerusi BN dan UMNO Sabah (Datuk Seri Bung Mokhtar Radin) adakan rundingan awal dengan presiden parti berkenaan.

Saya dan Setiausaha Agung (Tan Sri Annuar Musa) tidak akan lepaskan tangan, (untuk) adakan pertemuan dengan presiden parti di Sabah.

"Kita harus ingat, Parti Cinta Sabah yang diketuai (Tan Sri) Anifah Aman akan turut serta. Namun kita akan berbincang jika perlu dengan Anifah untuk susun atur, tentukan gerak kerja (di PRN) Sabah, jika pintu masih terbuka untuk kami berunding dengan parti berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Bung Mokhtar berkata, BN Sabah masih memerlukan sedikit masa untuk memuktamadkan calon yang bakal bertanding dan mengesahkan senarai pendek calon sudah diperoleh.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga menyatakan kesediaannya bertanding dalam PRN kali ini namun tetap menyerahkan keputusan akhir kepada kepimpinan BN Pusat bagi menentukan keputusan itu.

"Kalau kawan benarkan saya tanding. Kita akan buat strategi yang baik. 'Timing' (masa) mesti sesuai dengan apa yang kita rancang," katanya turut memaklumkan logo BN akan digunakan dalam PRN kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Sabah pada 26 September ini selepas kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini memohon untuk Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN.

Berita Harian X