Ahad, 16 Ogos 2020 | 3:22pm
Calon BN, Mohd Zaidi (dua dari kiri) dan Ismail Sabri (tengah) beramah mesra dengan peniaga pasar tani di Slim River. Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Calon BN, Mohd Zaidi (dua dari kiri) dan Ismail Sabri (tengah) beramah mesra dengan peniaga pasar tani di Slim River. Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

Pemimpin besar parti turun berkempen awal

SLIM RIVER: Walaupun baru memasuki hari kedua berkempen, nama-nama besar pemimpin Barisan Nasional (BN) mula singgah ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim untuk berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) di sini.

Jika semalam menyaksikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak turun padang membantu calon parti itu, Mohd Zaidi Aziz, pemimpin yang berkempen untuk calon Bebas juga tidak ketinggalan.

Biarpun bertanding atas tiket Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dibantu bekas pemimpin utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai mewakili kes bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengiringi Amir Khusyairi mengadakan lawatan mesra di sekitar pekan Slim River untuk bertemu pengundi.

Calon Bebas, Amir Khusyairi bersama Maszlee berkempen, bertemu dan berkenalan penduduk Felda Trolak Utara. Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Calon Bebas, Amir Khusyairi bersama Maszlee berkempen, bertemu dan berkenalan penduduk Felda Trolak Utara. Foto NSTP/Hazreen Mohamad

Hari ini, calon yang menggunakan simbol pokok itu dibantu bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bertemu pengundi di kawasan FELDA.

Pada masa sama, Mohd Zaidi turut memulakan kempen bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seawal pagi tadi, sebelum bersama Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bersama bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Selain itu, kedua-dua calon pada masa ini masih menumpukan kempen mereka menyantuni penduduk menerusi lawatan mesra dan dari rumah ke rumah selain ceramah berkelompok dalam jumlah yang kecil selaras dengan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN dan dua lagi calon Bebas. Seorang lagi calon Bebas, menggunakan simbol buku adalah Santharasekaran Subramaniam, 44.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu di Hospital Bentong, Pahang.

Mohd Khusairi dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 pada tahun 2004.

Pada PRU-14, beliau mempertahankan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim, dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Berita Harian X