Ahad, 16 Ogos 2020 | 12:13pm
Gambar arkib barisan pemimpin kanan UMNO dan PAS selepas menandatangani memorandum persefahaman Piagam Muafakat Nasional di Kuala Lumpur pada 14 September 2019. - Foto AIZUDDIN SAAD
Gambar arkib barisan pemimpin kanan UMNO dan PAS selepas menandatangani memorandum persefahaman Piagam Muafakat Nasional di Kuala Lumpur pada 14 September 2019. - Foto AIZUDDIN SAAD

'Mukhriz ketinggalan 20 tahun' - Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Tidak timbul isu parti mana akan menerajui Muafakat Nasional (BN) apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyertai gabungan itu secara rasmi, kata Tan Sri Annuar Musa.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, UMNO, PAS dan BERSATU akan wujud secara setaraf menerusi Majlis Presiden, sekali gus tidak timbul isu siapa menjadi pengerusi seperti yang biasa diamalkan gabungan parti sebelum ini.

"Kita dah tak pakai sistem politik itu (pengerusi mengetuai gabungan), kita amalkan konsep politik taawun (kerjasama) dan taayush (kewujudan bersama). BERSATU, UMNO dan PAS wujud secara bersama, tak timbul soal siapa nak berebut jadi pengerusi," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau mengulas persoalan dibangkitkan bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sama ada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi Pengerusi MN berikutan beliau adalah Perdana Menteri.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menyifatkan soalan itu membuktikan bekas Menteri Besar Kedah itu sudah ketinggalan 20 tahun kerana masih tidak memahami model politik baharu yang diamalkan MN.

"Persoalan Mukhriz menunjukkan dia jauh ke belakang. Untuk PEJUANG (Parti Pejuang Tanah Air ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad) bolehlah pakai (model lama), buat parti, bapa lantik anak (jadi presiden)," katanya.

Bagi memastikan kejayaan model politik MN, Annuar berkata, ketiga-tiga parti sanggup mengetepikan ego dan berkorban beberapa perkara, selain mengamalkan toleransi dan keikhlasan dalam berbincang.

"Sebelum ini, tujuh pilihan raya kecil (PRK) semua calon BN, tiada calon PAS tapi PAS tetap bersama. BN kerusi paling banyak tapi bagi Muhyiddin jadi Perdana Menteri. Sampai masa nanti, mungkin BERSATU bagi balik pada UMNO untuk jadi Perdana Menteri.

"Jadi, anakanda saya Mukhriz, belajarlah politik cara baru, model baru," katanya.

Jelas Annuar, konsep sama turut diamalkan dalam gabungan besar membabitkan MN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS), dengan parti di Sarawak dan Sabah diberi autonomi dan akan disokong MN di Semenanjung.

"Dulu BN Sarawak ada, sekarang kita berkorban supaya BN tiada di Sarawak. Orang Sarawak masih cari lambang timbang (logo BN), lambang timbang mungkin tiada dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

"Sabah juga begitu, kita beri autonomi kepada BN dan UMNO Sabah untuk bekerjasama dengan parti di sana," katanya.

Terdahulu, Annuar menjelaskan, MN secara prinsip bersetuju menerima BERSATU untuk bersama UMNO dan PAS dalam gabungan itu.

Semalam, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dilaporkan berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu bersetuju menyertai MN yang mendokong PN sebagai gabungan besar atau 'the grand coalition'.

Berita Harian X