Sabtu, 15 Ogos 2020 | 9:39pm
Muhyiddin mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin politik, ADUN Johor. Foto arkib NSTP
Muhyiddin mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin politik, ADUN Johor. Foto arkib NSTP

Muhyiddin bertemu pemimpin ADUN BN, MN Johor malam ini

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri pertemuan tertutup bersama pemimpin utama politik Johor di sebuah hotel di bandaraya ini malam ini, dalam sebahagian jadual lawatan rasmi dua hari ke negeri ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tiba pada jam 8.15 malam dengan disambut Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Turut hadir, pada majlis tertutup itu, Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin; Pengerusi BERSATU Johor, Mazlan Bujang; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Pengerusi MIC Johor, R Vidyananthan.

Turut serta, 29 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) merangkumi 14 ADUN UMNO, BERSATU (11), MIC (dua) dan PAS dengan satu kerusi serta Bebas (satu).

Pertemuan tertutup itu dikatakan membincangkan kerjasama politik dan masa depan hala tuju kerjasama di antara parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN) bersama BERSATU yang bersetuju akan menyertai MN.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan ADUN Gambir mengumumkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bersetuju untuk menyertai MN, sekali gus bakal memperkukuhkan gabungan MN dalam persada politik negara selepas ini.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, dengan menyertai MN yang mendokong Perikatan Nasional (PN) maka BERSATU akan berada dalam satu gabungan besar atau 'the grand coalition'.

Berita Harian X