Sabtu, 15 Ogos 2020 | 4:59pm

PRK Slim ukur tahap kejujuran parti gabungan PN - Zahid

TROLAK: Ikatan dan hubungan semua parti politik yang terbentuk dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) perlu diterjemahkan dengan jujur dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menerusi undi yang diperoleh calon BN.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata menerusi MN, calon BN seharusnya mendapat kembali 4,000 undi yang diperoleh calon PAS dalam PRU-14 sebagai tambahan kepada kira-kira 8,000 undi yang diperoleh calon BN.

"Begitu juga kita mengharapkan kira-kira 6,000 undi yang diperoleh calon BERSATU yang bertanding atas tiket PKR pada PRU-14, ...maka itu barulah kita nampak keikhlasan dan kejujuran semangat parti yang mendokong PN dan MN.

"Oleh itu, PRK ini menjadi penanda aras untuk kita lihat kejujuran parti-parti yang mendokong PN dan MN kerana parti dalam BN sudah buktikan kesetiaan pada semua PRK sebelum ini," katanya berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN di Dewan Rajawali FELDA Residence Trolak, hari ini.

Zahid pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN. - Foto NSTP/Rosman Shamsudin
Zahid pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN. - Foto NSTP/Rosman Shamsudin

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Majlis Pelancaran itu turut dihadiri ketua-ketua pemuda parti komponen BN dan rakan BN serta Pas dan Armada BERSATU.

Zahid berkata PRK DUN Slim inilah sebagai medan terbaik untuk membuktikan keikhlasan dan kejujuran dalam hubungan kerjasama PN dan MN dalam menuju ke PRU-15 nanti.

Zahid (tengah) menyerahkan bendera BN kepada jentera pemuda BN pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN. - Foto NSTP/Rosman Shamsudin
Zahid (tengah) menyerahkan bendera BN kepada jentera pemuda BN pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN. - Foto NSTP/Rosman Shamsudin
Berita Harian X