Khamis, 13 Ogos 2020 | 10:00am
Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohamad Hatta Lodin. - Foto Rosman Shamsudin
Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohamad Hatta Lodin. - Foto Rosman Shamsudin

BN namakan pengarah operasi jentera PRK Slim

SLIM RIVER: Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohamad Hatta Lodin, 54, dilantik sebagai Pengarah Operasi Jentera Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) N 58 Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang baharu bagi memastikan gerak kerja jentera BN berjalan lancar.

Perlantikan beliau yang sebelum ini menjalankan tugas Timbalan Ketua UMNO bahagian diumumkan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad susulan Pemangku Ketua UMNO bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz diumumkan sebagai calon BN dalam PRK DUN Slim, semalam.

Mengulas mengenai perlantikan itu, Mohamad Hatta berkata beliau akur dan sedia menerima amanah serta tanggungjawab yang diberikan untuk mengekalkan kemenangan BN di kubu kuat UMNO.

Katanya, walaupun rekod pencapaian BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) di DUN Slim sebelum ini baik namun bukanlah tugas mudah untuk mengekalkan kemenangan berdasarkan keadaan politik semasa.

"Apa yang dirancang oleh Mohd Zaidi sebelum ini akan diteruskan dan kami begitu bersemangat untuk bekerja sepanjang kempen sehingga hari pengundian nanti.

"Saya berharap semua jentera dapat memberikan kerjasama sepenuhnya dan akur dengan keputusan pucuk pimpinan yang melantik Mohd Zaidi sebagai calon BN ,"katanya ketika dihubungi.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu di Hospital Bentong, Pahang selepas mengadu kesukaran bernafas.

Berikutan itu, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari penamaan calon pada 15 Ogos ini, manakala tarikh 25 Ogos hari mengundi awal serta tarikh 29 Ogos sebagai tarikh PRK DUN Slim.

Berita Harian X