Rabu, 12 Ogos 2020 | 9:29pm
Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan watikah pelantikan calon PRK DUN Slim kepada Amir Khusyairi (kiri) pada Majlis Memperkenalkan Calon PRK N.58 Slim di Bilik Gerakan Utama, Taman Slim Permata, malam ini. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan watikah pelantikan calon PRK DUN Slim kepada Amir Khusyairi (kiri) pada Majlis Memperkenalkan Calon PRK N.58 Slim di Bilik Gerakan Utama, Taman Slim Permata, malam ini. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Tun Dr Mahathir Mohamad hadir pada Majlis Memperkenalkan Calon PRK N.58 Slim di Bilik Gerakan Utama, Taman Slim Permata, malam ini. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Tun Dr Mahathir Mohamad hadir pada Majlis Memperkenalkan Calon PRK N.58 Slim di Bilik Gerakan Utama, Taman Slim Permata, malam ini. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

PRK Slim: Kumpulan Tun M namakan peguam, Amir Khusyairi sebagai calon

SLIM RIVER: Kumpulan penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad, menamakan peguam syarie dan peguambela, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang akan berlangsung 29 Ogos ini.

Anak jati Perak itu akan bertanding atas tiket Bebas, berdepan calon yang terdahulu diumumkan Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz.

Pengumuman dibuat sempena Majlis Memperkenalkan Calon PRK N.58 Slim di Bilik Gerakan Utama, Taman Slim Permata dekat sini, malam ini, dengan penyampaian watikah pelantikan disempurnakan Dr Mahathir.

Amir Khusyairi berkata, pemilihannya bertanding dalam PRK Slim adalah langkah permulaan dalam membetulkan apa yang tidak betul selama ini.

"Saya mahu bawa aspirasi ini ke Perak dan negara yang kita cintai," katanya.

Amir Khusyairi, 38, yang juga anak kepada bekas naib kadi Teluk Intan dan pesara guru adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau mempunyai lima orang anak, manakala isterinya, Dr Nur Aainaa Othman, adalah doktor pakar radiologi di Hospital Teluk Intan serta doktor pakar jemputan di Hospital Slim River.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, pada 15 Julai lalu.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Allahyarham Mohd Khusairi yang bertanding mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, 32 membentuk Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada 25 BN yang semuanya UMNO, BERSATU (empat), PAS (tiga) manakala DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), Bebas (dua) serta Gerakan (satu).

Berita Harian X