Sabtu, 25 Julai 2020 | 11:55am
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom (kiri) bersama Pegawai Daerah dan Tanah Mualim, Shamsul Ridzuan Idris melihat peta daerah Mualim pada sidang media selepas mesyuarat khas berkaitan urusan PRK DUN N58 Slim, Perak di ibu pejabat SPR, pada Khamis. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom (kiri) bersama Pegawai Daerah dan Tanah Mualim, Shamsul Ridzuan Idris melihat peta daerah Mualim pada sidang media selepas mesyuarat khas berkaitan urusan PRK DUN N58 Slim, Perak di ibu pejabat SPR, pada Khamis. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

PRK DUN Slim: UMNO Tanjung Malim bersiap sedia

SLIM RIVER: UMNO Tanjung Malim menggerakkan jentera pilihan raya membabitkan 60 cawangan di Parlimen itu bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Slim yang dijadualkan pada 29 Ogos depan.

Pengarah Operasi PRK DUN Slim, Mohd Zaidi Aziz, berkata jentera pilihan raya itu menggabungkan jentera DUN Behrang, DUN Sungkai dan DUN Slim bagi mempertahankan kerusi DUN Slim yang menjadi antara kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, berkata bukan mudah baginya menggalas tanggungjawab serta amanah dalam menghadapi PRK berkenaan, namun beliau bersedia untuk memikulnya.

"Sebagai pemangku Ketua UMNO bahagian, sudah tentu saya mengharapkan kerjasama sepenuhnya daripada pimpinan bahagian terutama sayap, Wanita, Pemuda dan Puteri, seterusnya pimpinan dan ahli di peringkat akar umbi," katanya ketika ditemui, dekat sini.

Mohd Zaidi berkata dalam usaha menguatkan lagi jentera pilihan raya, jentera daripada 23 UMNO bahagian di negeri ini akan turun padang membantu bermula hari penamaan calon pada 15 Ogos depan sehingga hari pengundian kelak.

"Terdapat 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN ini dan UMNO bahagian di seluruh negeri ini akan menjadikan PDM sebagai bahagian angkat supaya gerak kerja pilihan raya terutama kempen berjalan lancar.

Katanya, jentera pilihan raya dijangka tidak berdepan masalah dalam menjalankan gerak kerja kerana tiada isu setempat yang boleh dimainkan oleh pembangkang.

Seramai 23,094 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang memerlukan peruntukan sebanyak RM4.6 juta.

Pada 15 Julai lalu, media melaporkan Khusairi meninggal dunia di Hospital Bentong akibat serangan jantung pada jam 4.15 petang di Hospital Bentong, Pahang selepas tiba-tiba pengsan ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort sekitar jam 2.30 petang.

Khusairi menang kerusi DUN Slim pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Mohd Amran Ibrahim dan PAS, Zulfadli Zainal, dengan majoriti 2,183 undi.

Berita Harian X