Sabtu, 18 Julai 2020 | 7:07pm
UMNO akan meletakkan pemimpin tempatan dalam PRK DUN Slim. - Foto NSTP
UMNO akan meletakkan pemimpin tempatan dalam PRK DUN Slim. - Foto NSTP

BN mahu pertahan DUN Slim

BAGAN DATUK: Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon bagi mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada pilihan raya kecil (PRK) nanti.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO belum mempunyai calon menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia, Rabu lalu.

"Oleh kerana kemenangan dan ADUN dahulu UMNO yang mewakili BN, maka menjadi kewajipan kepada UMNO untuk mempertahan kerusi DUN Slim.

"Kita belum meneliti mana-mana calon kerana Badan Perhubungan UMNO negeri belum mengemuka nama pada saya selaku Pengerusi BN.

"Kita akan mengambil kira pandangan daripada UMNO dan BN Tanjung Malim, terutamanya untuk cawangan dan pusat daerah mengundi (PDM) di Slim," katanya di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, keutamaan akan diberikan kepada calon tempatan untuk bertanding kerusi DUN Slim.

"Kita menunggu tarikh yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kita akan memulakan gerak kerja secara rasmi.

"Kita sudah mula menyusun jentera di peringkat PDM dan DUN Slim, namun saya tidak fikir kita akan mengumumkan sebarang tindakan kerana kita menghormati keluarga arwah," katanya.

Semalam media melaporkan, SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada 23 Julai ini bagi menentukan tarikh PRK DUN Slim.

Penentuan itu dibuat selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, mengenai kekosongan luar jangka kerusi DUN Slim.

Berita Harian X