Sabtu, 18 Julai 2020 | 3:10pm
Pemuda AMANAH tolak amalan politik konservatif yang cenderung letak ‘orang lama’ sebagai calon pilihan raya - Syazni Munir. Foto NSTP
Pemuda AMANAH tolak amalan politik konservatif yang cenderung letak ‘orang lama’ sebagai calon pilihan raya - Syazni Munir. Foto NSTP

Pemuda AMANAH mahu orang muda calon PRK DUN Slim

KUALA LUMPUR: Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mahu Pakatan Harapan Plus (PH Plus) meletakkan calon orang muda untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Ketua Pemudanya, Shazni Munir Mohd Ithnin, berkata keputusan itu dipersetujui Pengurusan Pemuda AMANAH hari ini sebagai menolak amalan politik konservatif yang cenderung meletakkan 'orang lama' sebagai calon dalam pilihan raya.

"Mencalonkan anak muda dalam PRK DUN Slim akan memberikan gambaran PH Plus terus melangkah ke hadapan meninggalkan gagasan politik konservatif.

"Ini berikutan dalam PRK itu, kesatuan PH Plus bakal teruji dan rakyat khususnya anak muda akan menilai sejauh mana keutuhan gabungan PH Plus, termasuk dalam menentukan parti dan calon mana akan bertanding," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis ini bagi membincangkan tarikh pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Penentuan itu dibuat selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, mengenai kekosongan luar jangka kerusi DUN Slim, semalam.

Kerusi DUN Slim kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, di Hospital BentongRabu lalu kerana serangan jantung.

Shazni Munir berkata, Pemuda AMANAH turut berpendapat PRK adalah medan menguji keutuhan PH Plus yang sebelum ini dilihat bercakaran sesama sendiri.

"Rakyat sudah menyaksikan perpecahan dalam kalangan pembangkang berikutan perbezaan pendapat dalam banyak perkara.

"Hal ini sekali gus menggagalkan usaha pembangkang mendapatkan cukup bilangan bagi mengambil alih semula kerajaan setakat ini," katanya.

Berita Harian X