Selasa, 7 Julai 2020 | 9:49pm
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq reda dipecat daripada BERSATU. GAMBAR MSN
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq reda dipecat daripada BERSATU. GAMBAR MSN

Syed Saddiq tarik balik saman sivil

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan menarik semula saman sivil berhubung kes pemecatan keahliannya dri parti itu.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook hari ini, beliau yang juga antara pengasas BERSATU reda dengan nasib yang menimpanya dalam parti itu.

"Kalau nak ambil parti, ambillah. Kalau nak buang nombor keahlian saya, buanglah. Saya tidak akan melengah-lengahkan usaha tuan-tuan sekalian.

"Saya akan sentiasa mencipta ruang untuk membina negara. Bagi saya, rakyat dan negara itu paling utama.

"Banyak juga pendapat dikongsi tentang langkah terbaik untuk masa depan negara. Walau apa pun, jika ia berpaksikan negara dan anak muda, saya tahu itulah langkah yang akan saya ambil dan pilih. What say you? (apa kata anda)," katanya.

Syed Saddiq antara lima bekas pimpinan BERSATU yang memfailkan tuntutan membatalkan pemecatannya oleh Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Empat yang lain ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Datuk Seri Muhkriz Mahathir; Maszlee Malik, Datuk Amiruddin Hamzah dan Datuk Marzuki Yahya.

Selain menamakan Muhyiddin, mereka juga menamakan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Setiausaha Kerja BERSATU, Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Masyati Abang Ibrahim sebagai defendan dalam tindakan sivil berkenaan.

Berita Harian X