Isnin, 29 Jun 2020 | 2:32pm

Cadangan Mukhriz TPM II bukan dari saya - Dr M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak ada hak untuk menentang apabila nama anaknya Datuk Seri Mukhriz dicadangkan sebagai Timbalan Perdana Menteri II jika Pakatan Harapan (PH) kembali menjadi kerajaan.

Beliau menjelaskan tidak ada hak untuk menentang cadangan pelantikan itu hanya kerana kepentingan dirinya.

"Saya sedar saya akan dikritik apabila menamakan anak saya Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri II.

"Cadangan itu tidak datang dari saya. Dalam kenyataan bersama Mohamad Sabu, (Presiden Parti Amanah Negara) dan Lim Guan Eng (Setiauasaha Agung DAP) pada 22 Jun, pelantikan (pencalonan) Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri II sudah pun disebut," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kenyataan itu dipercayai bagi menjelaskan mengenai cadangan menamakan Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri II.

Dalam siaran langsung di Facebook Jumaat lalu, bekas perdana menteri itu mendedahkan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dicadangkan sebagai Perdana Menteri jika PH kembali berkuasa, turut dipersetujui beberapa pemimpin kanan PH lain termasuk AMANAH dan DAP.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, persetujuan itu dicapai dalam satu perbincangan tidak rasmi pada 25 Jun lalu di Rumah Tamu Sabah, Kuala Lumpur, yang turut dihadiri antaranya Mohd Shafie, Mohamad, Pengerusi DAP Tan Kok Wai, serta Guan Eng.

Pada pertemuan itu, katanya, mereka turut menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1.

Dr Mahathir berkata, beliau berada dalam keadaan serba salah sewaktu menjadi Perdana Menteri kali pertama dengan melarang anaknya daripada bergiat dalam politik, khusus sebagai ahli parti kerajaan.

"Saya tidak hendak dituduh mengamal nepotisme, memberi keistimewaan kepada keluarga saya.

"Tetapi apabila saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri, tanggungjawab menjaga nama saya, tidak sepatutnya dipikul berterusan oleh anak saya. Mereka dibebas untuk berpolitik. Jaya atau tidaknya politik mereka bergantung kepada diri mereka," katanya

Katanya, beliau menyerahkan kepada umum sama ada mahu mempercayai penjelasannya itu.

"Sudah tentu orang yang bermusuh dengan saya, akan bercakap sinis. Ini saya terima kerana memang pun ia adalah naluri manusia," katanya.

Berita Harian X