Isnin, 29 Jun 2020 | 12:18pm

Perlu masa buat keputusan - Shafie Apdal

PENAMPANG: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memerlukan masa sebelum membuat keputusan mengenai cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menamakannya sebagai calon Perdana Menteri.

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu berkata beliau amat menghargai cadangan itu.

"Seorang tokoh mencadangkan nama saya sebagai calon Perdana Menteri dan itu merupakan satu cadangan yang perlu saya teliti secara mendalam.

"Cadangan itu datang dari beliau (Dr Mahathir) dan tidak pernah terjadi dalam sejarah sebelum ini. Bagi saya ia adalah satu cabaran dan harus melihatnya secara serius.

"Tetapi berikan saya sedikit masa untuk berbincang dengan ahli kepimpinan tertinggi yang lain, tetapi ia tidak akan mengambil terlalu lama atau secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan kerja di sekolah SMK Agama Kota Kinabalu dan SMK Peter Mojuntin, di sini, pagi tadi.

Turut hadir, Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob; Timbalan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jenifer Lasimbang; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JKNS), Dr Mistrine Radin dan Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking.

Sebelum ini, PKR menyatakan pendirian parti yang kekal menamakan presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon untuk jawatan Perdana Menteri bagi pihak pembangkang.

Bagaimanapun, isu memilih calon Perdana Menteri itu berterusan apabila Dr Mahathir dikatakan mahu dipilih sebagai calon.

Terbaharu, bekas perdana menteri itu dilaporkan menyokong penuh cadangan Parti Amanah Negara (AMANAH), WARISAN dan DAP, agar Mohd Shafie dipilih sebagai calon untuk jawatan Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, pihaknya harus menimbangkan banyak perkara sebelum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan itu.

"Kita menghadapi banyak masalah di peringkat negeri Sabah tambahan pula negara kita juga berdepan dengan suasana politik yang tidak menentu," katanya.

Mengulas mengenai tindakan Dr Mahathir membawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masuk ke Sabah sedangkan sebelum ini beliau berjanji tidak akan melakukannya ketika Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Mohd Shafie berkata, pihaknya yakin keputusan itu dilakukan dalam perbincangan pemimpin di peringkat PPBM.

Beliau juga turut mengakui walaupun tidak memperoleh semua yang dimahukan tetapi sekurang-kurangnya ada pertimbangan yang positif daripada Kerajaan Persekutuan ketika Mahathir masih menerajui negara.

"Contohnya, walaupun kita bukan dalam Pakatan Harapan (PH), apabila saya menamakan tiga orang untuk dilantik sebagai Menteri Persekutuan iaitu Datuk Darell Leiking, Datuk VK Liew and Datuk Mohammadin Ketapi, beliau (Dr Mahathir) bersetuju.

"Malah, antara dalam lebih 20 perkara tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), 17 perkara sudah dipersetujui," katanya.

Mohd Shafie berkata, sebagai ahli politik yang berpengalaman, beliau tidak akan mengabaikan Sabah untuk sebuah jawatan yang ditawarkan.

"Kita memerlukan masa untuk mempertimbangkan banyak faktor sebelum membuat sebarang tindakan.

"Apabila masanya tiba, saya juga akan terangkan mengenai keputusan saya," katanya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memerlukan masa bagi memberi keputusan mengenai cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menamakannya sebagai calon Perdana Menteri. - FOTO BERNAMA
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memerlukan masa bagi memberi keputusan mengenai cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menamakannya sebagai calon Perdana Menteri. - FOTO BERNAMA
Berita Harian X