Ahad, 28 Jun 2020 | 6:54pm
Ismail beramah mesra dengan Orang Asli Kampung Dusun di Chini, hari ini. - Foto NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
Ismail beramah mesra dengan Orang Asli Kampung Dusun di Chini, hari ini. - Foto NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

Shafie sebagai PM hanya helah

PEKAN: Percaturan untuk mengetengahkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon baharu Perdana Menteri bagi mengelak lebih ramai pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) meninggalkan 'kapal'.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata cadangan itu sekadar helah politik dan semua pihak, termasuk pemimpin WARISAN tidak sewajarnya termakan dengan 'umpan' terbabit.

"Tindakannya (Tun Dr Mahathir Mohamad) untuk memberikan sokongan kepada Mohd Shafie strategi untuk mengelakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada WARISAN untuk keluar parti.

"Baru-baru ini, dua ADUN Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) 'berundur' daripada kerajaan negeri diterajui WARISAN dan saya dimaklumkan bahawa lebih ramai bakal mengikuti langkah sedemikian.

"Jika lebih ramai ADUN meletakkan jawatan, Kerajaan Sabah (dikepalai WARISAN) akan tumbang. Oleh itu, Dr Mahathir umum untuk sokong Mohd Shafie dengan harapan mereka akan tukar fikiran dan terus berdiri teguh di belakang Ketua Menteri mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas kunjungan ke Kampung Dusun Orang Asli, di sini, hari ini.

Dr Mahathir semalam menyatakan sokongan untuk mencalonkan Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri, bukan beliau sendiri seperti yang diutarakan sebelum ini, sehingga ia mencetuskan polemik baharu dalam Pakatan Harapan (PH).

Dalam perbincangan beberapa parti sekutu PH itu, mesyuarat terbabit antara lain bersetuju untuk mencalonkan, masing-masing Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan Timbalan Perdana Menteri II.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) berkata, setiap perkataan yang diluahkan Dr Mahathir harus diteliti daripada sudut berlainan supaya tidak mudah terpengaruh dan membuat rumusan awal.

"Jangan lihat pencalonan (Mohd Shafie) sekadar dari sudut permukaan kerana ada sebab tersirat lain di sebaliknya, iaitu untuk menghalang lebih ramai ahli WARISAN meninggalkan parti.

"Saya harap mana-mana ahli WARISAN, UPKO dan parti lain yang berhasrat untuk keluar meninggalkan 'kapal' masing-masing, teruskan hajat sedemikian.

"Ini disebabkan apa yang diucapkan Dr Mahathir (menjadikan Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri) tidak mungkin akan menjadi kenyataan," katanya.

Berita Harian X