Sabtu, 30 Mei 2020 | 10:02pm
Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad pada BERSATU di Menara Yayasan Selangor. - Foto NSTP / AZLIM MANSOR
Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad pada BERSATU di Menara Yayasan Selangor. - Foto NSTP / AZLIM MANSOR

BERSATU Terengganu berdiri di belakang Muhyiddin

KUALA TERENGGANU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengambil tindakan yang selari dengan perlembagaan kerana mengeluarkan surat terhenti keahlian kepada lima Ahli Parlimennya.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Razali Idris, berkata tindakan lima ahli berkenaan duduk di blok pembangkang ketika perasmian Parlimen sebelum ini, menyalahi peraturan parti seperti yang termaktub dalam fasal 10.2.3 perlembagaan parti.

Katanya, perlembagaan itu wajib dipatuhi semua ahli tanpa mengambil status atau kekananan dalam parti.

"Semua ketua bahagian di Terengganu sependapat dengan tindakan BERSATU pusat mengeluarkan surat terhenti keahlian kepada lima Ahli Parlimen berkenaan.

"Kami berdiri teguh bersama Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus menerajui kepemimpinan negara dan parti," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Lima Ahli Parlimen yang terhenti keahlian ialah bekas Pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah

Kenyataan Razali juga ditandatangani Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, Penyelaras Seikandi negeri, Roslilawati Mukhtar dan Penyelaras Angkatan ARMADA negeri, Ahmad Luqman Mohd Dalizan.

Berita Harian X