Khamis, 21 Mei 2020 | 6:44pm
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa. NSTP/GAMBAR FAIL
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa. NSTP/GAMBAR FAIL

Annuar tempelak Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad ditempelak susulan kenyataannya yang menyifatkan beliau sudah jadi Perdana Menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), jika mahu mengkhianati mandat rakyat.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, berkata ia susulan tindakan bekas Perdana Menteri itu yang mendorong mana-mana Ahli Parlimen lompat parti bagi memperkukuhkan kedudukannya, sebelum ini.

"Bukankah sudah lama Tun (Dr Mahathir) mendorong wakil rakyat untuk 'khianati mandat rakyat' dengan lompat parti bagi memperkuatkan kedudukan Tun?

"Gabungan Ahli Parlimen yang menyokong pelantikan Perdana Menteri Kelapan (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mengisi kekosongan akibat ditinggalkan Perdana Menteri Ketujuh (Dr Mahathir).

"Ia adalah dalam kerangka menunaikan mandat rakyat, duduk dan tidak lari," katanya dalam kenyataan ringkas dimuat naik dalam ciapan di laman Twitter, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi mendakwa bahawa rakaman audio dikaitkan dengan dirinya yang tersebar di media sosial kelmarin adalah hasil suntingan dan berniat jahat.

Dr Mahathir mendakwa, beliau sudah mengkhianati mandat rakyat ketika dicalonkan sebagai Perdana Menteri Kerajaan PN, jika mahu melakukannya.

Kelmarin, satu lagi klip audio dikaitkan dengan mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 23 Februari lalu, tular di media sosial, menggambarkan suara dikatakan milik Dr Mahathir bersetuju supaya parti itu keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini, klip audio individu dengan suara mirip Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU memaklumkan supaya memberi kepercayaan kepada Dr Mahathir untuk menentukan kedudukan parti itu dalam PH, juga tular di media sosial.

Ia disusuli klip audio kedua yang merakamkan suara mirip Dr Mahathir meminta mesyuarat tidak memaksanya untuk mungkir janji bagi meletakkan jawatan.

Dalam perkembangan lain, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menjelaskan kementerian itu memperuntukkan dana bernilai hampir RM1 juta bagi mengatasi masalah gelandangan, termasuk isu perundangan membabitkan golongan itu.

Sehubungan itu, katanya, gelandangan akan dihantar ke pusat pemulihan atau bimbingan di Pahang bagi tempoh tiga bulan dengan jumlah itu dipersetujui dalam mesyuarat pasca Kabinet, Kementerian Wilayah Persekutuan.

"Bagi saya tiada apa yang bebas masalah. Kita harus uruskan sesuatu setulus hati. Ia masalah maruah kita.

"Alasan tidak perlu lagi. Ketepikan birokrasi, kita teruskan usaha. Saya faham ada gelandangan yang sikapnya belum positif.

"Sebahagian (gelandangan) lagi akan ke program latihan khas selama sebulan di Sepang, Selangor. Nilai diri anak bangsa jauh lebih tinggi," katanya dalam ciapan di laman Twitter, hari ini.

Berita Harian X