Isnin, 24 Februari 2020 | 12:25pm
PENSYARAH Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz. - Foto Asyraf Hamzah
PENSYARAH Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz. - Foto Asyraf Hamzah

Majoriti mudah buka laluan kerajaan baharu

KUALA LUMPUR: Melihat spekulasi yang bertiup kencang semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan mampu membentuk kerajaan baharu menerusi sokongan majoriti mudah Ahli Parlimen tanpa perlu ke Dewan Rakyat yang hanya akan bersidang 9 Mac ini.

Pakar Perlembagaan berkata, Perdana Menteri hanya perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi mendapatkan perkenan membentuk kerajaan baharu dan kemudian mengemukakan senarai Jemaah Menteri baharu.

Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz, berkata jika Dr Mahathir yakin mempunyai sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen dan beliau kekal sebagai Perdana Menteri, tampuk kerajaan tidak akan berubah.

Dalam kes seperti ini, katanya, pembentukan kerajaan baharu tidak memerlukan persetujuan di Dewan Rakyat, memadai mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, malah pelantikan anggota Kabinet baharu adalah prerogatif Perdana Menteri.

Bagaimanapun, ia masih memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Ini bermakna tidak perlu membubarkan Parlimen (untuk membentuk kerajaan baharu). Parlimen hanya perlu dibubarkan jika Perdana Menteri menganggap beliau tidak mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen dan memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk berbuat demikian.

“Dalam kes ini, Perdana Menteri dilihat mempunyai sokongan majoriti dan tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Jika tidak hilang kepercayaan, buat apa Perdana Menteri mahu Parlimen dibubarkan,” katanya ketika dihubungi.

Shamrahayu turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa hubungan kepercayaan antara kerajaan dan Parlimen adalah bersifat jalan dua hala, iaitu Perdana Menteri (Jemaah Menteri) boleh meminta undi percaya daripada Parlimen dan Ahli Parlimen juga boleh membuat undi tidak percaya ke atas kerajaan (Jemaah Menteri).

Di Malaysia, katanya, ungkapan undi tidak percaya sering didengari berbanding undi percaya.

“Hanya akhir-akhir ini, istilah undi percaya mendapat perhatian dalam perbincangan umum, walaupun ia mungkin pernah berlaku secara tidak langsung sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pakar undang-undang dan Perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata pembentukan kerajaan baharu tidak perlu dibawa ke Dewan Rakyat.

Beliau berkata, apa yang berlaku di Dewan Rakyat hanya perubahan kerusi yang mungkin menyaksikan pertukaran antara wakil kerajaan dengan pembangkang.

“Jika spekulasi yang bertiup kencang itu berlaku, akan berlaku pengisytiharan oleh Perdana Menteri dan sudah tentu akan berlaku rombakan Kabinet,” katanya.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, jika Dr Mahathir yang menghadap Yang di-Pertuan Agong, tidak timbul isu undi tidak percaya kerana beliau masih mempunyai sokongan majoriti mudah di Dewan Rakyat.

“Cuma kalau kerajaan baharu ingin ditubuhkan, persoalannya adakah ia membabitkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

“Jika benar maka mereka yang menghadap Yang di-Pertuan Agong adalah mereka yang ingin mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri,” katanya.

Beliau turut menegaskan undi tidak percaya tidak perlu dibuat di Dewan Rakyat.

Berita Harian X