Jumaat, 13 Disember 2019 | 4:17pm

AWAN AMANAH umum 16 biro, 6 jawatankuasa

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pimpinan Wanita Parti Amanah Negara (AWAN) Nasional mengumumkan pembentukan 16 biro dan enam jawatankuasa khas bagi melancarkan pentadbiran sayap parti itu.

Turut diumumkan ialah pelantikan dua Naib Ketua AWAN menjadikan lima orang memegang jawatan itu. Mereka ialah Siti Faridah Abdul Samad dan Puspha Nagiah Vengadesan.

Pengumuman dibuat Ketua AWAN, Aiman Athirah Al Jundi pada sidang media khas di Wisma AMANAH di sini, hari ini.

Beliau turut mengumumkan pelantikan sembilan ahli Jawatankuasa Pimpinan AWAN Nasional (JKP) sayap itu - Rozita Abdul, Soraya Salim, Noorazlinah Awang, Normala Mohd Nadzar, Jamilah Ibrahim, Nurliyana Ramzi, Mahaya Ahad, Norlaila Nordin dan A Arutselvi.

Katanya, pembentukan biro dan jawatankuasa khas itu memudahkan urusan pentadbiran dan operasi sayap parti.

“Pelantikan dua lagi Naib Ketua mengukuhkan lagi organisasi AWAN. Kedua-dua pemimpin ini mempunyai pengalaman yang banyak dalam kepemimpinan. Puspha juga adalah Ahli Jawatankuasa Kepimpinan Pusat AMANAH yang baru dilantik baru-baru ini,” katanya.

Aiman Athirah yang turut mengumumkan pengerusi biro dan jawatankuasa dalam kalangan JKP sayap itu, berkata mesyuarat JKP bersetuju menetapkan tempoh empat bulan bagi menilai barisan kepemimpinan yang terpilih.

“Barisan kepemimpinan baharu bagi sesi 2019-2022 menggabungkan kepemimpinan wanita dalam parti yang mempunyai pelbagai latar belakang kerjaya dan pendidikan. Kami berikrar memberikan yang terbaik untuk parti dan rakyat bersama sayap wanita parti lain dalam Pakatan Harapan,” katanya.

Mengenai pencapaian wanita dalam barisan kepemimpinan pusat sebagai Ahli Jawatankuasa Kepimpinan Nasional AMANAH, beliau berpuashati apabila tujuh wanita berada dalam senarai pimpinan pusat.

Katanya, paling membanggakan pencapaian bekas Ketua AWAN, Dr Mariah Mahmud yang dilantik sebagai seorang daripada lima Naib Presiden parti.

“Saya selaku Ketua AWAN dan Ketua Wanita Muda AMANAH (WARDA), Nurthaqaffah Nordin secara automatik dilantik dalam Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH.

“Begitu juga ahli Mariam Abdul Rashid secara automatik dilantik dalam senarai 27 kepemimpinan pusat atau dengan kata lain beliau menang dalam pemilihan manakala Naib Ketua AWAN, Norhayati Bidin dilantik sebagai Timbalan Setiausaha parti.

Setiausaha AWAN Nasional pula dilantik sebagai Penolong Setiausaha AMANAH.

Beliau turut mengumumkan pemukiman AWAN pada Februari depan, antara lain bagi menilai pencapaian kepemimpinan sayap itu selain membincangkan usaha penambahan ahli serta memperkasa parti.

Aiman Athirah (tengah) bergambar bersama Ahli Jawatankuasa Pimpinan Wanita AMANAH Nasional selepas sidang media mesyuarat Khas Pembentukan Jawatankuasa Pimpinan AWAN Nasional Sesi 2019/2022 di Wisma AMANAH Negara, Kuala Lumpur. - NSTP/Azhar Ramli
Aiman Athirah (tengah) bergambar bersama Ahli Jawatankuasa Pimpinan Wanita AMANAH Nasional selepas sidang media mesyuarat Khas Pembentukan Jawatankuasa Pimpinan AWAN Nasional Sesi 2019/2022 di Wisma AMANAH Negara, Kuala Lumpur. - NSTP/Azhar Ramli
Berita Harian X