Rabu, 11 Disember 2019 | 7:57pm
HUSAM Musa
HUSAM Musa

Husam dilantik semula, Dr Siti Mariah penuhi kuota Wanita

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Senator Datuk Husam Musa dan bekas Ketua Wanita, Dr Siti Mariah Mahmud, masing-masing dilantik mengisi dua jawatan Naib Presiden bagi penggal 2019-2022.

Lantikan itu diputuskan secara sebulat suara dalam mesyuarat pertama Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan Nasional AMANAH yang baru dipilih, malam tadi.

Menerusi kenyataan hari ini, Pengarah Komunikasi parti, Khalid Abd Samad, berkata mesyuarat selama dua jam itu turut memutuskan Datuk Seri Ahmad Awang dan Datuk Abdul Ghani Samsuddin, masing-masing kekal memegang jawatan Penasihat dan Timbalan Penasihat Umum parti.

AMANAH turut melantik Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli sebagai Setiausaha Agung menggantikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Anuar Tahir, manakala Ketua Menteri Melaka, Adli Zahari dilantik sebagai Bendahari.

DR Siti Mariah Mahmud
DR Siti Mariah Mahmud

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilantik sebagai Pengarah Strategi, manakala Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus selaku Setiausaha Organisasi.

Mesyuarat turut memutuskan enam lantikan bagi mengisi AJK Lantikan.

Mereka terdiri daripada Datuk Dr Hassan Baharom yang juga bekas Naib Presiden, Dr Dzulqarnian Lokman, Datuk Dr Ismail Salleh, Hu Pang Chau, Haris Alimuddin dan Pushpa.

Bagi lantikan pengerusi negeri, Dr Mohd Hatta dilantik menerajui pimpinan Wilayah Persekutuan, manakala Adli (Melaka), Datuk Asmuni Awi (Perak), Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad (Terengganu) dan Datuk Phahrolrazi Zawawi (Kedah).

Turut dilantik, Wan Kharizal Wan Khazim (Perlis), Dr Roslan Ahmad (Pulau Pinang), Izham Hashim (Selangor), MK Ibrahim Ab Rahman (Negeri Sembilan), Aminohuda Hassan (Johor), Zulkifli Mohammad (Pahang), Muhammad Husin (Kelantan), Abang Halil Abang Naili (Sarawak) dan Lahirul Latigu (Sabah).

AJK Pimpinan Nasional ini akan mula bertugas berkuat kuasa hari ini sehingga Konvensyen AMANAH Nasional kali keenam yang dijangka diadakan penghujung 2022.

Berita Harian X