Ahad, 8 Disember 2019 | 11:16am
Nik Nazmi berucap pada penggulungan Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini. - NSTP/Khairunisah Lokman
Nik Nazmi berucap pada penggulungan Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini. - NSTP/Khairunisah Lokman

Cukup-cukuplah bergaduh

AYER KEROH: Ahli dan pemimpin PKR diminta menghentikan perselisihan sesama sendiri dan mula bekerja untuk rakyat dan memperkuatkan parti.

Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata sejajar dengan dasar perjuangan parti sejak 20 tahun lalu, semua kepemimpinan sewajarnya menjadikan jawatan yang disandang ketika ini adalah semata-mata untuk membantu rakyat sebaiknya.

“Cukup-cukuplah bergaduh, (selepas ini) balik ke kawasan masing-masing, kita buat kerja untuk rakyat demi perjuangan ini,” katanya dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, PKR akan menumpukan kepada tiga usaha bagi memantapkan perjuangan parti untuk jangka masa panjang.

Katanya, sebagai permulaan adalah memberi fokus kepada menambah lebih banyak ranting khususnya di Sarawak bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Beliau berkata, ia diikuti memantapkan pelaksanaan manifesto Pakatan Harapan (PH) dan terakhir, tertumpu kepada transisi kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Kita kena fokus untuk memantapkan parti ini dan untuk tujuan itu, saya yang bertanggungjawab ke atas setiap ranting dan 222 cabang PKR seluruh negara, akan turun ke setiap negeri bagi bertemu dengan semua setiausaha pengelola cabang.

“Ia bertujuan untuk berbincang mengenai penambahan ranting di kawasan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam sesi sama, berkata PKR tidak boleh lagi leka dan dibuai dengan kejayaan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jika tidak mahu ‘dibuang’ rakyat pada PRU-15.

Katanya, parti perlu menumpukan usaha melaksanakan agenda reformasi membela rakyat.

“Kita perlu sedar kita sudah 18 bulan (menjadi kerajaan) selepas PRU-14. Rakyat mendambakan kita menzahirkan agenda reformasi, bukan yang berada ‘di awang-awangan’, yang tidak dapat dirasai.

“Tugas kita sebagai pejuang reformasi ialah membela nasib rakyat, golongan petani, nelayan mahasiswa yang menjadi golongan tertekan.

“Kalau kita terleka dengan tanggungjawab ini, kita mungkin terbuang pada PRU-15,” katanya.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut melahirkan rasa kesal kerana ramai pemimpin yang juga rakan seperjuangan dalam PKR yang berniat merosakkan nama baik parti

“Saya kesal ramai sahabat yang saya percaya ada niat merosakkan nama baik parti kita, merobek dan cuba mensabotaj parti,” katanya.

Berita Harian X