Ahad, 8 Disember 2019 | 9:32am
Tian Chua hadir pada Kongres Nasional PKR di MITC Ayer Keroh, hari ini. - Foto BERNAMA
Tian Chua hadir pada Kongres Nasional PKR di MITC Ayer Keroh, hari ini. - Foto BERNAMA

Azmin, penyokong boikot hari terakhir Kongres PKR?

AYER KEROH: Hari terakhir Kongres Nasional PKR hari ini bermula tanpa kehadiran Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta pimpinan yang menyokongnya.

Ketibaan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sekitar jam 9.05 pagi menyaksikan hanya Naib Presiden PKR, Tian Chua yang dikaitkan sebagai kumpulan Mohamed Azmin, menyambut mereka.

Ia mencetuskan persoalan sama ada Mohamed Azmin dan penyokongnya memutuskan untuk memboikot majlis penggulungan dan penangguhan kongres itu.

Mengikut jadual asal, hari terakhir kongres bakal menyaksikan ucapan penggulungan daripada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ketua Wanita, Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden PKR.

Semalam dalam satu sidang media, Mohamed Azmin mendakwa Anwar gagal memenuhi janji memastikan pembahas patuh pada kerangka dan parameter ucapan yang dipersetujui dalam mesyuarat khas antara mereka di bangunan Parlimen, Rabu lalu.

Tempat duduk Mohamed Azmin kosong pada hari terakhir Kongres Nasional PKR di MITC Ayer Keroh. - NSTP/Khairunisah Lokman
Tempat duduk Mohamed Azmin kosong pada hari terakhir Kongres Nasional PKR di MITC Ayer Keroh. - NSTP/Khairunisah Lokman

Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, pagi ini. - NSTP/Rasul Azli Samad
Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, pagi ini. - NSTP/Rasul Azli Samad

Mohamed Azmin berkata persetujuan yang gagal dipatuhi itu membabitkan jaminan Anwar supaya komposisi pembahas adalah adil dan mewakili semua pihak, selain pembahas tidak dibenarkan menyinggung, menyindir dan menyerang mana-mana pihak.

Timbalan Presiden PKR itu juga dijadualkan hadir dan berucap di satu majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama di sebuah hotel di Kuala Lumpur, malam ini, bersama beberapa pemimpin PKR yang dikaitkan sebagai penyokongnya.

Hotel itu adalah lokasi sama kumpulan dikaitkan dengan Mohamed Azmin sebelum ini merancang mengadakan satu himpunan berasingan pada hari ini dan esok, tarikh sama Kongres Nasional PKR berlangsung di Melaka.

Antara pemimpin PKR yang dijadualkan hadir termasuk tiga Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Ali Biju; ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, R Sivarasa; Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha dan Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham.

Mohamed Azmin meninggalkan sesi perbahasan ucapan dasar Presiden PKR ketika ia ditangguhkan pada Kongres Nasional PKR di MITC Ayer Keroh, semalam. - NSTP/Khairunisah Lokman
Mohamed Azmin meninggalkan sesi perbahasan ucapan dasar Presiden PKR ketika ia ditangguhkan pada Kongres Nasional PKR di MITC Ayer Keroh, semalam. - NSTP/Khairunisah Lokman

Berita Harian X