Sabtu, 7 Disember 2019 | 4:16pm
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

'Cuma majlis makan malam esok, bukan kongres asing' - Zuraida

AYER KEROH: Satu program makan malam akan diadakan di sebuah hotel di ibu negara malam esok, dijangka dihadiri beberapa pemimpin PKR yang dikaitkan dengan kumpulan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Hotel itu adalah lokasi sama kumpulan dikaitkan dengan Mohamed Azmin sebelum ini merancang mengadakan himpunan berasingan hari ini dan esok, tarikh sama Kongres Nasional PKR berlangsung di Melaka.

Mengesahkan perkara itu, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, menegaskan program itu bukan bertujuan mengadakan kongres berasingan, sebaliknya majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama.

Zuraida turut mengesahkan beberapa nama yang dikatakan akan menghadiri program itu, antaranya Naib Presiden PKR, Ali Biju; ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, R Sivarasa dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Hilman Idham.

“Ya, ya, kita akan menganjurkan majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama, di bawah (Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri) Mohamed Azmin Ali.

“Bukan, ia bukan (Kongres PKR). Ia makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama. Saya rasa maklumat mengatakan ia Kongres PKR adalah salah.

“Kita akan ke sana selepas selesai Kongres Nasional PKR) esok,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai penyebaran jemputan ke Majlis Makan Malam Apresiasi Perwakilan Kongres PKR di sebuah hotel di ibu negara bermula jam 6.30 petang hingga 10 malam esok.

Dalam jemputan itu, beberapa nama disenaraikan untuk memberi ucapan, antaranya Mohamed Azmin, Sivarasa, Ali Biju, Tian Chua, Zuraida, Muhammad Hilman dan Haniza Mohamad Talha.

Sementara itu, Tian Chua menegaskan majlis malam esok hanya untuk meraikan perwakilan parti yang hadir ke Kongres Nasional PKR di Melaka.

“Esok perwakilan yang datang akan berkumpul di Kuala Lumpur untuk kita akan hantar pulang,” katanya, sambil mengesahkan akan hadir ke majlis berkenaan.

Berita Harian X