Sabtu, 7 Disember 2019 | 11:35am

Anwar, Azmin tampil duduk seiring

AYER KEROH: Pembukaan Kongres Nasional PKR pagi ini berjalan lancar tanpa kekecohan, dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, duduk bersama-sama sepanjang majlis berlangsung.

Suasana itu dilihat terus meredakan suhu pertikaian dalaman yang digembar-gembur sebelum ini, apabila dua pemimpin tertinggi PKR berkenaan dikatakan tidak sehaluan dalam beberapa perkara, hingga membawa kepada pembatalan Mohamed Azmin sebagai perasmi Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR.

Bagaimanapun, pertemuan Anwar dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu di Parlimen beberapa hari lalu, dipercayai merungkai beberapa masalah, sekali gus memberi laluan Mohamed Azmin merasmikan pembukaan serentak kedua-dua sayap itu, malam kelmarin.

Pimpinan yang dikaitkan dengan kem Anwar dan Mohamed Azmin turut dilihat duduk seiring dan berbual sesama mereka.

Antara pimpinan tertinggi dikaitkan dengan Mohamed Azmin yang hadir pada majlis pembukaan itu ialah dua Naib Presiden iaitu Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua serta dua Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP), R Sivarasa dan Amirudin Shari.

Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham yang semalam dilaporkan tidak menghadiri sesi petang kongres sayap atas alasan keselamatan, turut berada pada majlis pembukaan Kongres Nasional PKR.

Kongres Nasional PKR bermula secara rasmi hari ini dengan Ucapan Dasar Presiden, sebelum dibahaskan 16 perwakilan sepanjang hari ini.

Kongres tiga hari itu akan berakhir esok dengan penggulungan Ketua AMK, Wanita, Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden.

Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) beramah mesra bersama bersama Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini. Turut hadir Pengerusi Majlis Penasihat Keadilan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah). - Foto BERNAMA

Berita Harian X