Jumaat, 6 Disember 2019 | 5:32pm
Perwakilan yang hadir pada Konvensyen Nasional 2019 AMANAH di Shah Alam, hari ini. - NSTP/Sairien Nafis
Perwakilan yang hadir pada Konvensyen Nasional 2019 AMANAH di Shah Alam, hari ini. - NSTP/Sairien Nafis

Kejayaan AMANAH sangkal ramalan kegagalan parti itu

SHAH ALAM: Kejayaan Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini menyangkal dakwaan pihak yang sebelum ini meramalkan kegagalannya.

Timbalan Setiausaha Agung AMANAH, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, yang menyampaikan ucapan aluan Setiausaha Agung AMANAH, berkata ketika parti itu ditubuhkan pada 2015, ia pernah digelar sebagai parti nyamuk selain dikatakan tidak akan bertahan lama.

Bagaimanapun, katanya, AMANAH kini membuktikan parti itu mampu menjadi sebahagian daripada komponen Pakatan Harapan (PH) yang berada di tampuk pentadbiran negara di Putrajaya.

“Bahkan, jangka hayat parti kita juga sudah ada yang menentukan tempoh masanya. Bermula dengan pelancaran parti, sudah ada yang menyatakan Parti Amanah Negara hanya bertahan enam bulan, tapi Alhamdulillah kita berjaya melepasi tempoh itu.

“Selepas melepasi tempoh enam bulan, diberikan pula tempoh dua tahun, Alhamdulillah kita berjaya juga menolak khurafat politik ini dan kita pada hari ini sudah mencapai usia empat tahun dan saya percaya AMANAH akan terus hidup segar, bugar sampai bila-bila,” katanya.

Beliau yang memangku jawatan Setiausaha Agung AMANAH, menyampaikan ucapan aluan itu pada Konvensyen Nasional 2019 AMANAH di Pusat Konvensyen IDCC di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Amirudin Shari.

Abang Ahmad Kerdee berkata berdasarkan kepada Teori Pembangunan Organisasi oleh Bruce Tuckman, yang memperincikan setiap organisasi akan menempuh empat peringkat, AMANAH kini sudah melalui sehingga peringkat keempat.

Jelas beliau, empat peringkat berdasarkan teori itu ialah pembentukan (forming); ‘storming’ iaitu peringkat yang getir dan menyaksikan perbezaan pendapat; ‘norming’ atau peringkat kestabilan organisasi dan yang terakhir iaitu ‘performing’ atau kejayaan.

“Namun, AMANAH sebagai sebuah parti dalam PH, kita masih berada pada peringkat kedua.

“Sebab itu kita tidak nafikan, pimpinan kita di atas ini tidak menafikan, ada sedikit ujian, ada sedikit dugaan, dan ada sedikit getir yang membabitkan pendapat, pandangan, perasaan, hati dan nurani semua peringkat dalam parti.

“Justeru, konvensyen kita hari ini, esok dan Ahad menjadi ruang serta pentas terbaik untuk sama-sama kita menilai semula semua tindakan dan perbuatan kita sebelum ini.

Beliau juga berharap dengan adanya konvensyen itu, AMANAH dapat mencapai kata sepakat untuk menjadi sempadan kepada parti dalam mendepani lawan dan masa hadapan.

Pada masa sama, Abang Ahmad Kerdee berkata ini kali pertama konvokesyen AMANAH akan menyaksikan proses pemilihan jawatan dalam parti selepas penubuhannya pada 2015.

Katanya, jawatan yang akan dipilih adalah Speaker, Timbalan Speaker, Juruaudit dan 27 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional.

Berita Harian X