Rabu, 4 Disember 2019 | 1:44pm
KETUA AWAN Nasional, Aiman Athirah Al Jundi pada sidang media di Wisma Negara, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
KETUA AWAN Nasional, Aiman Athirah Al Jundi pada sidang media di Wisma Negara, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

AWAN Nasional ketengahkan lima calon untuk pimpinan tertinggi

KUALA LUMPUR: Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional hari ini mencadangkan lima pemimpin sayap itu dipilih mengisi 27 Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan Nasional sesi 2019-2021.

Mereka adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang merangkap EXCO Kerajaan Selangor, Dr Siti Marah Mahmud; Norhayati Bidin, Norwani Ahmat, Mariam Abdul Rashid dan Aida Yusuf Rawa.

Seramai 925 perwakilan akan mengundi bagi memilih 27 AJK daripada 87 calon yang pada Konvensyen AMANAH Nasional 2019 hujung minggu ini.

Ketua AWAN Nasional, Aiman Athirah Al Jundi, berkata pergerakan itu dengan amat berharap lima pemimpin mereka diangkat untuk mengisi jawatan dalam AJK Pimpinan Nasional.

Jumlah itu, katanya hanya 18.5 peratus daripada keseluruhan AJK Pimpinan Nasional dan tiada sebab untuk perwakilan enggan memilih calon wanita kerana masing-masing mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam bidang tertentu.

Selain itu, Konvensyen AWAN Nasional hujung minggu lalu juga sebulat suara menamakan Dr Siti Mariah sebagai pimpinan wanita yang akan mengisi satu jawatan Naib Presiden yang akan dilantik dalam mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional.

Aiman Athirah berkata, ia selaras dengan semangat awal ketika peruntukan ini dimasukkan ke dalam perlembagaan parti pada awal penubuhannya yang mana beliau turut terbabit ketika itu.

“Saya yakin dan percaya kalau berdasarkan kepemimpinan nasional yang lalu, saya fikir tidak ada masalah. Namun saya tidak pasti siapa yang dipilih, cuma yang kita harapkan perwakilan pilih pemimpin bukan berdasarkan ‘favouritism’, sebaliknya merit dan keupayaan.

“Jika hanya disebabkan unsur lain seperti terhutang budi, ia akan hancurkan parti, penting untuk posisikan orang yang berpengalaman. Jangan memilih dalam keadaan marah dan benci.

“AWAN Nasional juga menawarkan sekurang-kurangnya dua pimpinan wanita untuk berada dalam pasukan Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi Amanah Nasional bagi membantu dalam urusan pentadbiran Wisma Amanah Negara,” katanya pada sidang media di Wisma Negara, di sini, hari ini.

Jawatankuasa Pimpinan Nasional sedia ada hanya disertai empat pemimpin wanita daripada 44 AJK termasuk yang dilantik.

Aiman Athirah berkata, pergerakan itu akan menggiatkan promosi bagi memperkenalkan lima calon mereka menerusi semua platform.

Sementara itu, AWAN Nasional turut mengangkat empat usul yang diluluskan dalam Konvensyen AWAN Nasional kali keempat sebelum ini ke Konvensyen Nasional 2019.

Ia membabitkan usul menggesa kerajaan segera membendung penyebaran politik kebencian agama dan kaum; menggesa kerajaan memansuhkan ujrah (caj perkhidmatan) berganda daripada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN); menggesa kerajaan mengkaji semula situasi kemiskinan di Malaysia serta kepemimpinan wanita untuk semua dalam kepemimpinan organisasi parti dan kerajaan secara menyeluruh dan konsisten.

Berita Harian X