Jumaat, 29 November 2019 | 12:46pm

45 bersaing rebut 27 jawatan AJK Wanita AMANAH

KUALA LUMPUR: Pemilihan Jawatankuasa Wanita Parti Amanah Negara (AWAN) Nasional bakal menyaksikan persaingan daripada 45 calon bagi merebut 27 jawatan dalam Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan pergerakan itu bagi sesi 2019-2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Nasional AMANAH, Dr Zulqarnain Lukman, berkata pihaknya menerima 109 pencalonan tetapi hanya 71 nama yang layak bertanding menjelang Konvensyen AWAN Nasional yang berlangsung selama dua hari bermula esok.

Beliau berkata, daripada jumlah yang layak bertanding, seramai 45 calon menerima pencalonan manakala 25 calon menolak dan seorang tidak memberikan jawapan.

Menurut Dr Zulqarnain, syarat kelayakan bertanding memerlukan sekurang-kurangnya dua pencalonan daripada kawasan mahupun sayap. Syarat lain, calon perlu bebas daripada tindakan muflis, sabitan mahkamah atau digantung keahlian selain tidak boleh bertanding jika menjadi ahli selepas 31 Disember 2018.

Sementara itu, jawatan Speaker dan Timbalan Speaker menyaksikan calon menang tanpa bertanding.

“Dua jawatan Juruaudit menyaksikan sebanyak 13 pencalonan dikemukakan. Selepas tapisan dibuat, hanya lima nama yang layak bertanding. Selepas borang jawapan diberikan kepada calon yang layak, hanya dua orang sahaja yang menerima pencalonan,” katanya.

Sementara itu Dr Siti Mariah Mahmud ketika dihubungi menjelaskan beliau tidak mempertahankan jawatan sebagai Ketua AWAN yang disandang sejak penubuhan AMANAH.

“Hasrat ini saya sudah maklumkan dalam Konvensyen AWAN 2018 di Melaka. Saya hendak memberi laluan kepada pemimpin lebih muda,” katanya

Berita Harian X