X
Sabtu, 23 November 2019 | 3:09pm
ANWAR Ibrahim (tiga dari kanan) beramah mesra dengan para perwakilan selepas merasmikan Konvensyen PKR Sarawak di Miri. - Foto NSTP/Kandau Sidi
ANWAR Ibrahim (tiga dari kanan) beramah mesra dengan para perwakilan selepas merasmikan Konvensyen PKR Sarawak di Miri. - Foto NSTP/Kandau Sidi

'PKR masih utuh, tiada perpecahan dalaman seperti dicanang pelbagai pihak'

MIRI: PKR masih utuh, tiada perpecahan dalaman seperti dicanang pelbagai pihak, kata Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada lebih 1,000 perwakilan Sarawak pada perasmian Konvensyen PKR negeri hari ini, Anwar berkata, beliau yakin sekurang-kurangnya 90 peratus pimpinan cabang seluruh negara dan akar umbi setia dengan pimpinan pusat parti yang dipilih pada sesi pemilihan lalu.

“Mustahil bagi sesuatu parti atau pemimpin itu boleh mendapat sokongan 100 peratus daripada pengikutnya. Jadi, jangan bimbang. Saya nak bagi tahu, semua negeri kita pergi, (di) Kedah semua cabang (hadir), satu sahaja tidak hadir. Pahang pun ada satu. Ketua cabang tak hadir, orang bawah, timbalan ketua cabangnya hadir. Di Sarawak ini pun sama, seluruh cabang hadir.

“Di Terengganu semua hadir. Kelantan satu tak hadir. Negeri Sembilan dan Melaka semua hadir. Jadi ‘problem’ apa? Pasal apa kita nak kata ada ‘problem’? Nak kata dapat 100 peratus, siapa yang boleh dapat 100 peratus ini, Putin, Trump? Tak ada di dunia ini yang boleh dapat 100 peratus. Di peringkat cabang pun tak boleh dapat,” katanya.

Hadir sama pada perasmian konvensyen itu Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Cabang Miri yang juga Ahli Parlimen Miri, Dr Micheal Teo Yu Keng. Bagaimanapun, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian tidak hadir.

Pada majlis itu, Anwar turut mengingatkan anggota PKR supaya tidak lupa asal usul perjuangan parti yang berjuang demi rakyat dan bukan kepentingan peribadi.

“Jangan ada pangkat sikit kita dah tunjuk ‘action’ (lagak). Perjalanan masih jauh. Jangan ingat saya takut sangat ‘Owh ini ada perubahan-perubahan’. Saya ini bukan muda lagi. Saya dalam politik bukan nak pikul harta.

“Kalau saya mahu harta, saya sebelum ini Menteri Kewangan lapan tahun. Semua orang kutip balak Sarawak. Saya tak ambil satu sen pun. Semua orang ambil tanah-tanah negeri. Saya satu inci pun tak ambil.

“Sebab itu saya berani mengatakan Insya-Allah kalau saya jadi pemimpin, jadi perdana menteri, saya nak buktikan bukan semua ahli politik itu rasuah dan sombong,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar mengarahkan PKR Sarawak supaya bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) dan mengukuhkan kekuatan parti itu bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan (PH).

Antara yang perlu dibuat segera oleh PKR Sarawak ialah mengadakan mesyuarat membabitkan semua cabang PKR di negeri itu bagi membincangkan persediaan PRN-12 termasuk proses pemilihan calon-calon yang akan ditentukan menerusi suara ‘akar umbi’.

Langkah itu, menurut Anwar akan memastikan calon parti itu mampu menang sekali gus menjayakan misi untuk menawan Sarawak.

Sementara itu, Pengarah Konvensyen PKR 2019, Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan walaupun konvensyen itu tetap diteruskan semalam, ia bukan bermakna parti tidak menghormati autonomi PKR Sarawak.

Sebaliknya, beliau berkata, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak yang seharusnya menghormati parti sebagai sebuah organisasi.

Baru dan pemimpin MPN Sarawak tidak hadir sebagai tanda bantahan terhadap penganjuran konvensyen itu yang disifatkan tidak sah. Baru yang juga Menteri Kerja Raya tidak dapat dihubungi untuk menjelaskan sebab beliau tidak menghadiri konvensyen itu.

MPN Sarawak membuat keputusan membatalkan konvensyen sebagai tanda protes terhadap keputusan parti yang membatalkan jemputan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk merasmikan Konvensyen AMK di Melaka.

Perasmian Konvensyen AMK di Melaka sebaliknya akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Berita Harian X