Sabtu, 16 November 2019 | 10:05pm
Anwar meminta Pakatan Harapan mengambil pengajaran dan iktibar susulan kekalahan PH pada PRK Parlimen Tanjung Piai, hari ini. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

PRK Tanjung Piai: Ambil pengajaran dan iktibar - Anwar

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta Pakatan Harapan (PH) mengambil pengajaran dan iktibar susulan kekalahan PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, hari ini.

Anwar berkata, majoriti yang diperoleh Barisan Nasional (BN) adalah satu kejutan dan ia mesej jelas kepada seluruh pimpinan PH.

“Kita juga harus berusaha menanam keyakinan rakyat terhadap dasar yang dibawa oleh PH dengan usaha positif melaksanakan janji,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai, dengan majoriti 15,086 undi.

Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi, manakala pesaing terdekatnya daripada PH, Karmaine Sardini, mendapat 10,380 undi.

Empat calon lain yang bertanding pada PRK Parlimen Tanjung Piai ialah calon GERAKAN, Wendy Subramaniam yang memperoleh 1,707 undi, Presiden BERJASA, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (850 undi) dan dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock (380 undi) serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32 undi).

Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Jeck Seng atas kemenangannya pada PRK berkenaan.

“Bagi pihak PH, kami menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat keseluruhannya,” katanya.

Berita Harian X