Sabtu, 16 November 2019 | 9:44pm
Reaksi Syed Saddiq berhubung kegagalan Pakatan Harapan mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Syed Saddiq mohon maaf

KUALA LUMPUR: “Kemarahan ini perlu dijawab dengan tindakan. Sekali lagi, minta maaf.”

Itu reaksi awal Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung kegagalan Pakatan Harapan (PH) mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebentar tadi mengumumkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi kerusi berkenaan, dengan majoriti 15,086 undi.

Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi, manakala pesaing terdekatnya dari PH, Karmaine Sardini, mendapat 10,380 undi.

“Kekalahan ini pahit untuk ditelan. Rakyat sudah bersuara. Suara rakyat, suara keramat.

“Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada belia Malaysia atas kekurangan saya,” kata Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda PH.

Empat calon lain yang bertanding pada PRK Parlimen Tanjung Piai ialah calon GERAKAN, Wendy Subramaniam yang memperoleh 1,707 undi, Presiden BERJASA, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (850 undi) dan dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock (380 undi) serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32 undi).

Berita Harian X