Sabtu, 16 November 2019 | 6:52pm
Tiga pengundi yang mendakwa identiti mereka digunakan oleh pihak tidak dikenali untuk mengundi di PRK Tanjung Piai. - Ihsan MCA
Tiga pengundi yang mendakwa identiti mereka digunakan oleh pihak tidak dikenali untuk mengundi di PRK Tanjung Piai. - Ihsan MCA

4 pengundi dakwa tidak dapat undi, MyKad diguna orang lain

PONTIAN: Empat pengundi mendakwa tidak dapat mengundi selepas identiti mereka digunakan orang lain yang terlebih dahulu mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh, berkata pihaknya menerima empat laporan berkaitan kejadian itu.

“Kejadian didakwa berlaku di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Boh dan SK Sungai Bunyi.

“Semua kes dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang daripada mangsa, Rihanah Soha, 62, mendakwa tidak dibenarkan mengundi di pusat mengundi SK Sungai Boh kerana nombor kad pengenalannya ditanda sebagai sudah mengundi jam 10.30 pagi.

“Pegawai SPR memberitahu nombor kad pengenalan saya sudah digunakan oleh orang tidak dikenali. Kami mahu hak kami. Sebagai bukti, jari kami belum bertanda (dengan dakwat hitam). Ini bermakna ada ‘pengundi hantu’,” dakwanya.

Beliau mendakwa demikian dalam satu rakaman video yang disebarkan dalam kumpulan aplikasi WhatsApp MCA bersama pengamal media sempena PRK Parlimen Tanjung Piai, hari ini.

Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon, mendakwa tiga daripada empat kes dapat dikesan pihaknya membabitkan seorang lelaki berusia 72 tahun serta dua wanita masing-masing berusia 72 dan 62 tahun.

“Mereka pergi ke pusat mengundi untuk mengundi, namun diberitahu oleh pegawai SPR bahawa nombor kad pengenalan mereka (sudah ditanda) digunakan oleh orang tidak dikenali untuk mengundi,” katanya.

Berita Harian X