Sabtu, 16 November 2019 | 12:10pm

Pengundi tertua bangun jam 5 pagi untuk tunai tanggungjawab

PONTIAN: “Saya sendiri undi (memangkah) kertas undi pagi tadi,” kata pengundi tertua, Jenab Jaman, 100, yang mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rambah, di sini hari ini.

Turut sama menunaikan tanggungjawab, suaminya Salleh Dahlan, 88, yang juga berkongsi keterujaan isterinya ketika keluar mengundi pagi tadi.

Salleh berkata, dia dan isteri sudah mengundi sejak Pilihan Raya Umum (PRU) pertama di negara ini iaitu 27 Julai 1955 dan sentiasa berasa teruja untuk mengundi setiap kali pilihan raya.

“Dia (isteri) jam 5 pagi dah bangun kejutkan saya hendak mandi pergi mengundi, jadi saya bangun masak air dan mandikan dia, pakaikan baju dan bedak.

“Memang dia akan teruja, setiap kali mengundi memang macam ini dia tidak sabar untuk keluar mengundi awal dan berkali-kali tanya bila kereta hendak datang ambil bawa ke Pusat Mengundi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Menthol, Rambah di sini, hari ini.

Salleh berkata, isterinya agak pemalu dan hanya akan bercerita jika dia berada di sisi.

“Dia memang kurang bercakap dengan orang sangat, tetapi kalau saya ada sebelah dia mahu bercakap dan saya selalu bergurau dengan isteri ketika di rumah,” tambahnya.

Ketika ditanya perasaan untuk keluar mengundi, Jenab yang deria pendengarannya kurang baik menjawab memang suka dan teruja untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

“Suka, nenek suka lihat orang ramai dan mengundi,” jawabnya ringkas.

Hari ini, sebanyak 27 pusat mengundi dan 125 saluran dibuka untuk proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.

Seramai 52,471 pengundi berdaftar di Tanjung Piai akan menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baharu susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung 21 September lalu.

Semua undi akan dikira di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan keputusan rasmi PRK Tanjung Piai boleh diperoleh seawal jam 10 malam.

JENAB Jaman bersama suaminya, Salleh Dahlan ketika ditemui di rumahnya di Parit Menthol, Rambah, Pontian, hari ini. - Foto Mohd Fahmi Yusof
JENAB Jaman bersama suaminya, Salleh Dahlan ketika ditemui di rumahnya di Parit Menthol, Rambah, Pontian, hari ini. - Foto Mohd Fahmi Yusof
Berita Harian X