Isnin, 11 November 2019 | 6:10pm
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menerima cenderahati disampaikan murid sambil diperhatikan Karmaine (tiga dari kanan) pada majlis pecah tanah Dewan Terbuka di SK Batu 24, Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menerima cenderahati disampaikan murid sambil diperhatikan Karmaine (tiga dari kanan) pada majlis pecah tanah Dewan Terbuka di SK Batu 24, Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

'Orang Tanjung Piai jarang keluar malam'

PONTIAN: Gaya hidup masyarakat tempatan yang lebih gemar meluangkan masa di rumah pada waktu malam dikatakan menjadi antara faktor ceramah parti politik Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, terutama bagi kem Pakatan Harapan (PH) agak hambar.

Calon PH, Karmaine Sardini, yang juga anak tempatan, berkata keadaan itu tidak membimbangkannya yang mengakui amat memahami kebiasaan orang kawasan berkenaan sejak dahulu.

“Orang di sini memang macam ni. Orang kampung tak mahu keluar tengok ceramah. Lepas Isyak, biasanya orang terus pulang ke rumah dari masjid atau surau. Cara hidup orang di sini berbeza, mereka tidak selesa keluar malam.

“Keadaan itu tidak menjejaskan kempen PH kerana kami lebih menekankan kaedah mendekati pengundi dari rumah ke rumah,” katanya mengulas mengenai bilangan hadirin pada program atau ceramah parti politik sempena PRK berkenaan ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tanjung Piai, berkata kehadiran ramai orang pada sesuatu program atau ceramah bukan penentu kemenangan seseorang calon.

“Sasaran kita adalah pengundi tempatan dan jika kita buat ceramah, orang yang datang sekitar 20 hingga 30 orang sahaja, itu sudah baik kerana mereka adalah pengundi.

“Berbanding pembangkang, jika kelihatan 200 hingga 300 orang datang ke ceramah mereka, tapi hakikatnya ramai orang luar termasuk jentera, kita tak perlu begitu,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui, sambutan orang tempatan terhadap PRK ini mungkin menjadi semakin hambar kerana mereka sudah bosan dengan suasana politik negara.

“Pasal politik ini berterusan. Selepas pilihan raya pun politik lagi. Ini mungkin mesej daripada penduduk mereka tidak mahu huru-hara,” katanya.

Karmaine yang bimbang keadaan itu akan mempengaruhi peratusan keluar mengundi pada 16 November nanti, berkata jentera PH tidak berdiam diri sebaliknya terus berusaha mendekati pengundi dan meminta mereka menunaikan tanggungjawab.

Berita Harian X