Isnin, 11 November 2019 | 4:40pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng (kanan) merasmikan Persidangan Teknikal Tahunan Ke-40, Pertubuhan Pentadbiran Cukai Negara-Negara Komanwel (CATA), hari ini. NSTP/Danial Saad
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng (kanan) merasmikan Persidangan Teknikal Tahunan Ke-40, Pertubuhan Pentadbiran Cukai Negara-Negara Komanwel (CATA), hari ini. NSTP/Danial Saad

'Bukan jawatan rasmi, tidak dibayar gaji'

GEORGETOWN: Keputusan meletakkan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, sebagai pembantu jika Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai, bertujuan menyelesaikan masalah komunikasi dengan masyarakat Cina di kawasan itu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menjelaskan ia juga bukan jawatan rasmi dan hanya bagi membantu calon PH, Karmaine Sardini, saling berhubung dengan komuniti berkenaan.

“Kita bercakap soal membantu. Sebagai contoh, kalau ada orang mahu tolong saya menguruskan masalah penduduk di kawasan Parlimen saya, saya akan berasa sangat gembira.

“Tambahan pula, Karmaine tidak boleh berbahasa Cina, dan ini (pembantu) akan menjadi bonus kepada beliau untuk mendekati masyarakat Cina.

“Jawatan pembantu ini juga bukan jawatan rasmi dan tidak dibayar gaji,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Teknikal Tahunan Ke-40, Pertubuhan Pentadbiran Cukai Negara-Negara Komanwel (CATA), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan menegaskan, beliau tidak melihat perkara itu sebagai isu yang perlu diperbesarkan.

“Kami hanya saling membantu, saya tidak nampak perkara ini adalah salah. Ia hanya isu yang diperbesarkan pihak pembangkang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Guan Eng dalam ceramahnya di Pekan Nanas, Johor, berkata Chin Tong akan membantu Karmaine jika PH mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai pada pilihan raya kecil (PRK), 16 November ini.

Guan Eng dipetik sebagai berkata, masyarakat Cina yang tidak fasih berbahasa Melayu mungkin berdepan masalah komunikasi jika mahu meminta bantuan.

Untuk rekod, Chin Tong yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, dilantik sebagai Pengerusi DAP Johor sejak 2014.

Berita Harian X