Sabtu, 9 November 2019 | 2:10pm
Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini bertemu media selepas majlis Sambutan Maulidur Rasul di Pekan Nenas, Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini bertemu media selepas majlis Sambutan Maulidur Rasul di Pekan Nenas, Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Karmaine terus pertahan syiar Islam

PONTIAN: Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, berjanji akan terus mempertahankan syiar Islam di negara ini.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tanjung Piai itu berkata, aspek itu disepakati kerajaan PH yang terus berusaha mempertingkatkan umat Islam.

“Memang mempertahan syiar Islam menjadi pegangan PH selama ini apabila mengambil alih pemerintahan negara, terutama Islam adalah agama rasmi Persekutuan.

“Kita boleh lihat kerajaan PH turut berusaha gigih memartabatkan agama Islam dengan pelbagai usaha dan penambahbaikan, selain turut menjadi komitmen berterusan BERSATU,” katanya selepas majlis sambutan Maulidur Rasul di rumah bekas imam Masjid Pekan Nenas, Ahmad Berlian Abd Hanan, 94, di Pekan Nenas, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Dalam Negeri.

Kira-kira 150 jemaah masjid dan penduduk setempat bersama Muhyiddin dan Karmaine turut bermarhaban serta berselawat.

Berita Harian X