Selasa, 5 November 2019 | 3:49pm
WEE Jeck Seng beramah mesra dengan orang ramai di Pasar Pagi Kampung Serkat, sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Tanjung Piai. - Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin

PRK Tanjung Piai, calon MCA ada kelebihan berbanding BERSATU

KUALA LUMPUR: Selepas sembilan Pilihan Raya Kecil (PRK) pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), buat kali pertama Pakatan Harapan (PH) berjaya meletakkan calon yang tepat bagi menentang Barisan Nasional (BN) dalam pertembungan enam penjuru pada PRK Tanjung Piai, 16 November ini.

Perkara itu dinyatakan Ketua Penyelidik dan Felo Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim yang menyifatkan PH kini kembali berada di landasan tepat untuk menghadapi PRK.

Beliau berkata, persediaan PH terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada PRK Tanjung Piai dilihat lebih teratur dan berstrategi mungkin kerana mereka sudah belajar daripada kesilapan ketika bertanding pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Mac lalu.

Calon PH, Karmaine Sardini walaupun sedikit berusia, tetapi beliau anak tempatan yang dikenali pengundi, mempunyai latar belakang yang baik, seorang iman dan guru agama yang mampu menarik undi orang Melayu untuk parti itu.

Bagaimanapun, calon ditampilkan BN walaupun dikitar semula dari MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng mempunyai kelebihan berbanding calon PH.

“Kedua-dua parti utama bertanding sebenarnya memilih jalan selamat. Pertembungan kali ini seimbang, namun hipotesis kami mendapati MCA nampak lebih ke depan.

“Meskipun arus populisme Melayu-Islam yang kuat sejak PRU-14 berpihak kepada UMNO-PAS, dengan komposisi penduduk Melayu lebih tinggi iaitu 57 peratus, BN tetap berani meletakkan calon MCA yang memberi mesej jelas kepada pengundi bukan Melayu bahawa kerjasama politik Muafakat Nasional bukannya bersifat perkauman.

“Jika dilihat, penduduk Melayu tidak puas hati dengan kerajaan dalam konteks isu Melayu Islam manakala sejak akhir-akhir ini, pengundi etnik Cina mula menjauhi PH kerana mereka ada persepsi Kerajaan Malaysia baharu tidak cukup baharu atau tidak memenuhi jangkaan mereka selepas lebih 17 bulan memerintah,” katanya ketika membentangkan kajian awal Ilham Centre: Unjuran 7 Siri PRK dan Prediksi P165 Tanjung Piai, di Universiti Malaya, hari ini.

Mohd Yusri yang juga penyelidik dari Pusat Penyelidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjelaskan peluang PH merebut kerusi itu sebenarnya terbuka walaupun pertembungan seimbang dijangka berlaku.

Katanya, tinjauan awal mendapati pengundi di Tanjung Piai sebenarnya sudah membuat keputusan sebelum tiba hari mengundi pada 16 November ini.

Mengenai peluang calon parti GERAKAN dan Barisan Jemaah Islamiyah (BERJASA), katanya, kedua-dua parti hanya memberi kesan kecil yang tidak akan mengganggu keputusan PRK.

Perkara itu dipersetujui Felo Penyelidik Ilham Centre yang juga penganalisis politik dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), Dr Hamidin Abd Hamid yang menyimpulkan PH dan BN mengambil jalan selamat memilih calon untuk PRK ini.

Namun, beliau mengakui Jack Seng yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai selama sepenggal mempunyai kelebihan kerana mudah didampingi dan dikenali pengundi.

“Untuk PRK kali ini, faktor calon tidak memberi masalah kepada PH kerana ia dapat diselesaikan tanpa sebarang pertikaian dan bantahan sebelum nama calon diumumkan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memuji jentera pilihan raya PH yang lebih tersusun dan berstrategi berbanding ketika BERSATU bertanding mewakili PH pada PRK Semenyih.

“PH perlu kerja keras kerana jentera BN lebih baik, malah jentera akar umbi parti ini tidak pernah berubah walaupun kepemimpinan parti pada peringkat nasional sudah berubah. Uniknya politik di Johor ini, terutama UMNO mereka masih mengekalkan semangat Muafakat Johor untuk kempen PRU-14.

“Pada pengamatan saya, kini semuanya terletak kepada kebijaksanaan kedua-dua parti siapa yang boleh menggerakkan pengundi pada hari pengundian. Di PRK Semenyih, UMNO dan BN berjaya kerana jentera PRK mereka mengambil pengundi untuk mengundi dan ini tidak dibuat jentera BERSATU ketika itu,” katanya.

Berita Harian X