Sabtu, 2 November 2019 | 10:26am
#PRKTanjungPiai : Waktu penerimaan kertas penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian ditutup pada 10 pagi. - Foto BERNAMA

Pusat penamaan calon PRK Tanjung Piai ditutup

PONTIAN: Pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai ditutup jam 10 pagi tadi selepas sejam dibuka.

Setakat ini, enam calon sudah menyerahkan borang pencalonan termasuk calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini; calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng dan calon GERAKAN, Wendy Subramaniam.

Turut menyerahkan borang pencalonan ialah Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lok serta Faridah Aryani Abdul Ghafar.

Bagaimanapun, keputusan senarai calon yang layak bertanding dijangka diketahui pada jam 10.30 pagi ini di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada BERSATU pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada PRU-14 Mei tahun lalu, Allahyarham Md Farid memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 21,254 undi menewaskan Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS), dengan majoriti 524 undi.

PRK Tanjung Piai ini adalah pilihan raya yang kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU-14 pada Mei tahun lalu.

Berita Harian X