Khamis, 31 Oktober 2019 | 2:46pm
TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto Nurul Shafina Jemenon
TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto Nurul Shafina Jemenon

'Tiada calon simpanan PAS di Tanjung Piai'

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mengulangi keputusan parti itu tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, termasuk calon simpanan.

Beliau berkata, tiada arahan kepada pihaknya untuk menyediakan calon simpanan, malah tetap bertegas tidak akan berbuat demikian, kerana sudah menerima calon dipilih Barisan Nasional (BN).

“Tidak ada (arahan beri calon simpanan), kita sudah jelaskan tidak akan sediakan calon untuk PRK Tanjung Piai. Calon simpanan tidak ada dalam istilah pilihan raya.

“Cuma yang ada hanya calon menunggu. (Itu pun) jika ada sesuatu kes berlaku kepada calon daripada Muafakat Nasional.

“Saya rasa tidak timbul mengenai calon simpanan. Tidak betul dakwaan itu. PAS tidak letak calon dan kita terima calon BN,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

BH hari ini melaporkan PAS Johor diarah menyediakan calon simpanan menjelang penamaan calon pada Sabtu ini.

Sumber parti itu memberi alasan calon simpanan itu sebagai ‘langkah berjaga-jaga’ jika berlaku perkara luar jangka termasuk pembatalan calon saat akhir atas sebab teknikal.

Sumber berkata, PAS sedang menyediakan calon seperti diarahkan dan sudah mengenal pasti ahlinya yang layak serta berwibawa bagi dicalonkan pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

Sementara itu, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sentimen kuat di akar umbi yang mahukan calon UMNO diketengahkan pada PKR Tanjung Piai sudah reda dan diselesaikan.

Beliau berkata, perbincangan pada peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) sudah menunjukkan penerimaan kepada calon MCA.

“Biarpun sentimen terlalu kuat supaya calon UMNO mewakili BN, tetapi hakikat yang diterima mereka ialah semangat permuafakatan dalam kalangan parti komponen BN.

“Atas rasa kebersamaan itu, semua jentera BN dari semua parti bergerak ke satu arah memberikan sokongan kepada Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng,” katanya.

Jeck seng yang juga Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai, dipilih calon BN pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad bersama Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong di Command Center BN Pontian, malam tadi.

Berita Harian X