PONTIAN: Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini, diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 November ini.
Ia diumumkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor.
Karmaine, 66, adalah bekas guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kerang, Tanjung Piai sebelum meneruskan pelajaran dalam bidang seni bina di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Beliau yang juga anak kelahiran Peradin,Teluk Kerang, Tanjung Piai, kemudian berkhidmat sebagai pembantu teknik dan arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur DBKL dari 1978 hingga 1990.
Karmaine yang kini adalah seorang ahli perniagaan juga pernah dilantik Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sebagai Imam Masjid Al-Mutaqqin, Taman Sutera, Johor Bahru. Beliau juga penerima Anugerah Ibu Bapa Mithali Peringkat Daerah Johor Bahru pada 2009.
Karmaine juga adalah bekas Bendahari UMNO Bahagian Tanjung Piai sebelum meninggalkan parti itu dan terbabit sebagai antara pengasas terawal BERSATU Tanjung Piai.
Beliau pernah bertanding bagi kerusi Parlimen Pontian pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), namun tewas kepada Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-UMNO).
Ahmad menang tipis dengan memperoleh 21,132 undi manakala Karmaine meraih 20,299 undi.