Isnin, 21 Oktober 2019 | 4:17pm
AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa ketika sidang media pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen. NSTP/Aswadi Alias.

BN akan terus jadi pembangkang - Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika menggunakan ‘pintu belakang’ untuk menjadi kerajaan ketika ini.

Ahli Parlimen Ketereh yang juga Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata parti menyedari hakikat itu dan memberi jaminan tidak akan menggunakan pintu belakang untuk menjadi kerajaan, sebaliknya komited untuk bekerja sebagai pembangkang.

Katanya, fokus BN ketika ini adalah mengukuhkan kekuatan bersama parti pembangkang lain, khususnya PAS menerusi Muafakat Nasional, dengan harapan kembali dipilih rakyat pada PRU-15.

“Usah risau, kami sudah putuskan untuk kekal sebagai pembangkang dan bekerjasama dengan parti pembangkang lain dan perkukuhkan Muafakat Nasional untuk menjadi pilihan alternatif rakyat pada PRU-15.

“Tiada gunanya jadi kerajaan guna ‘pintu belakang’ tapi rakyat tidak gembira dengan kita, kerana apabila pilihan raya kelak, kita akan kembali ditewaskan.

“BN dan UMNO perlu terima hakikat kita perlu perkukuhkan diri, berubah dan perbetulkan kesilapan. Kami tidak tergesa-gesa untuk menjadi kerajaan kerana kita perlu pastikan rakyat bersama kita,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini timbul desas-desus kewujudan komplot untuk menubuhkan kerajaan baharu tanpa DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dikaitkan dengan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin menafikan pembabitannya itu manakala Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menolak pembabitan UMNO dalam kempen itu.

Berita Harian X