Isnin, 21 Oktober 2019 | 12:39pm
KETUA Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pembangkang pertikai pengumuman peruntukan menjelang PRK Tanjung Piai

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta tidak menggunakan kedudukan dan kuasa bagi meraih undi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor, 16 November depan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan beberapa menteri mengumumkan peruntukan jutaan ringgit di Tanjung Piai ketika ini didakwa membelakangkan janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) sendiri.

Katanya, kerajaan boleh mengumumkan peruntukan itu selepas PRK berkenaan dan bukan menjelang kempen.

“Nampaknya mereka sudah mula membeli undi. Pergi ke sana dan umum RM4 juta dan sebagainya, untuk apa? Kenapa sekarang? Kenapa bukan sebelum pilihan raya?

“Sudah setahun setengah mereka menang, sepatutnya sudah umum apa yang nak diumum tapi sebaliknya tunggu sebelum pilihan raya

“Jadi sangat jelas PH tidak menghormati apa yang dijanjikan dalam manifesto mereka yang mahu memastikan pilihan raya bebas daripada campur tangan kerajaan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, mengenai 23 permohonan geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parlimen Tanjung Piai sudah diluluskan dengan peruntukan RM230,000, Selasa selalu.

Selain itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Sabtu lalu mengumumkan peruntukan RM4 juta untuk naik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai, manakala Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub mengumumkan RM3 juta bagi projek naik taraf tiga jeti nelayan dalam Parlimen Tanjung Piai semalam.

Bagaimanapun, Rina semalam menafikan pemberian geran itu bertujuan kempen PRK Parlimen Tanjung Piai.

#kw tanjung piai, pilihan raya kecil, peruntukan, ismail sabri yaakob, kempen

Berita Harian X