Ahad, 20 Oktober 2019 | 4:37pm
Pengerusi BERSATU Sarawak, Jaziri Alkaf Suffian. - NSTP/Muhd Amirul Faiz Ahmad

Hasrat Abang Jo bantu kurangkan beban peminjam disokong

KUCHING: Komitmen enggan mempolitikkan isu pendidikan di Sarawak terus dibuktikan susulan sokongan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sarawak terhadap usaha kerajaan negeri membantu anak Sarawak melunaskan bayaran hutang pendidikan.

Pengerusi BERSATU Sarawak, Jaziri Alkaf Suffian, berkata kesudian Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, mengurangkan beban hutang anak Sarawak dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) cukup dihargai.

“Pembayaran semula pinjaman PTPTN adalah penting demi menjamin pusingan wang bagi pengeluaran pinjaman baharu tidak terjejas. Jelajah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang baharu selesai di negeri ini cukup memberi kesan.

“Kita mahu memupuk kesedaran penduduk luar bandar dan pedalaman mengenai kepentingan menabung dalam SSPN, demi memastikan masa depan pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Abang Johari berkata kerajaan negeri masih mencari mekanisme terbaik termasuk sama ada memberi dana khas kepada peminjam untuk mereka membayar balik hutang PTPTN.

Pada Sesi Town Hall #TanyakAbangJo sempena Progam Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2019 semalam, beliau memaklumkan formula berkenaan akan diumumkan dalam tempoh enam bulan akan datang.

Berita Harian X