Ahad, 20 Oktober 2019 | 4:28pm
Ahli Parlimen Selayang daripada PKR, William Leong. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Ahli Parlimen PH terbabit komplot khianati mandat rakyat

SELAYANG: Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), khususnya daripada PKR yang terbabit dengan komplot menubuhkan kerajaan baharu tanpa DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH), disifatkan sebagai mengkhianati mandat rakyat.

Ahli Parlimen Selayang daripada PKR, William Leong, berkata komplot yang dikatakan bagi menghalang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi Perdana Menteri itu membelakangkan hasrat rakyat yang diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Yang penting sekali, rakyat sudah membuat pilihan pada PRU-14. Keputusan rakyat mesti dihormati, jangan membelakangkan rakyat untuk mewujudkan kerajaan yang lain.

“Pada saya, jika (komplot) benar berlaku, ini mengkhianati amanah rakyat,” katanya ketika ditemui pada program Karnival Jom Cari Kerja 2019 dan Kejohanan E-Sport FIFA 2020 di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan mengenai komplot mewujudkan kerajaan baharu tanpa DAP dan AMANAH, dikatakan didalangi bekas Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bersama beberapa Ahli Parlimen PH.

Dakwaan itu dibangkitkan Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan pada 15 Oktober lalu, yang menggesa Hishammuddin menghentikan kempen mengajukan idea mewujudkan kerajaan tanpa penyertaan DAP dan AMANAH.

Bagaimanapun, Hishammuddin, ketika ditemui media di lobi Parlimen Rabu lalu, menafikan dakwaan itu dengan alasan beliau tidak memiliki jawatan dan pengaruh, sama ada untuk menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri atau cuba mewujudkan kerajaan baharu.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau didekati pihak tertentu untuk mendapatkan sokongan berhubung penubuhan kerajaan baharu itu, William berkata sokongannya jelas kepada Anwar.

“Saya daripada PKR dan Presiden kita adalah Datuk Seri Anwar. Parti kita sudah mengadakan resolusi dalam kongres PKR baru-baru ini bahawa Perdana Menteri kelapan adalah Datuk Seri Anwar, tidak ada sesiapa yang lain,” katanya.

Berita Harian X